“Nak BerTikTok Boleh, Tapi…” – Ini Panduan Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Share

Sejak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini nampaknya semakin ramai yang turut serta membuat rakaman menggunakan aplikasi TikTok. Mungkin ia adalah cara buat untuk menghiburkan diri di kala gusar dengan penularan wabak Covid-19.

Pelbagai versi dicuba oleh ramai sempena musim kuarantin ini, dari lip-sync, aksi komedi dan video menari dan macam-macam lagilah. Tapi apa hukumnya buat Tiktok ni dalam Islam?

Di Malaysia, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan meletakkan hukum dibolehkan untuk bermain TikTok dan laman media sosial yang lain sekiranya digunakan untuk perkara bermanfaat.

Hukum bermain TikTok

Pada dasarnya sebarang  aplikasi media sosial  seperti Facebook, Twitter, Youtube, WhatsApp, Instagram mahupun TikTok yang digunakan untuk perkara yang manfaat adalah dibolehkan.  Hal ini bertepatan kaedah  berikut :

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya:” Pada asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil ke atas pengharamnya

Pengguna  yang bertanggungjawab  mengurus sebarang aplikasi sama ingin memandu kepada jalan yang bermanfaat mahupun jalan yang membawa kerosakan. Justeru,  hukum harus boleh berubah kepada hukum lain tertakluk cara pengguna mengendalikannya. Hal ini, situasi gambaran isu  kadangkala boleh menatijahkan hukum yang berbeza berdasarkan  kaedah umum yang menyebut:

الحكم على الشيئ فرع عن تصوره

Maksudnya: “Hukum terhadap sesuatu perkara merupakan cabang daripada  gambarannya’

(Lihat al-Ta’rifat, (59); al-Kulliyyat, 290)

Antara penetapan hukum dalam hiburan seperti media sosial ialah:

  • Makruh, sekiranya hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik ataupun buruk kepada manusia kerana melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.
  • Haram, sekiranya membawa keburukan kepada inidividu dan masyarakat. Ini seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang diharamkan syarak
  • Dibenarkan dan digalakkan, sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik kepada individu dan masyarakat (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/521-522)

Untuk info, Tiktok merupakan aplikasi perkongsian video yang dimiliki oleh ByteDance yang bertapak di Beijing, TikTok diasakan pada 2012 oleh Zhang Yiming.

Digunakan untuk menghasilkan video tarian pendek, lip-sync, aksi komedi dan video seni, aplikasi yang dilancarkan di iOS dan Android ini kemudiannya berjaya dibawa keluar dan dipasarkan luar dari China.

Dilancarkan di pasaran China pada September 2016, TikTok kemudiannya menjalinkan kerjasama dengan aplikasi musical.ly dan menjadi boleh dicapai di Amerika Syarikat.

Selepas daripada jalinan kerjasama itu, populariti aplikasi TikTok ‘meroked’ dengan jayanya dan berjaya menjadi aplikasi paling banyak dimuat turun di Amerika Syarikat pada Oktober 2018, dan pada 2019, aplikasi ini tersenarai sebagai aplikasi ke-7 paling banyak dimuat turun dalam tempoh masa sedekad bermula 2010 hingga 2019 dan menjadi aplikasi nombor satu yang dimuat turun paling banyak di App Store pada 2018 dan 2019.

Sumber: Wikipedia, Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan

Published by
Nana