Pelakon berkaliber, Reen Rahim menyifatkan kesalahan yang dilakukan pelakon dan pengacara, Sweet Qismina ketika mengacarakan di pertandingan akhir Bintang Kecil 2023 sebagai perkara biasa yang dilalui seorang hos baharu.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Reen berkata untuk menjadi seorang pengacara yang hebat perlu melalui fasa jatuh bangun terlebih dahulu, selain dia yakin Sweet akan menjadi seorang pengacara yang disegani suatu hari nanti.
ARTIKEL BERKAITAN: Tampil Ayu Berhijab, Reen Rahim Tuai Pujian Netizen & Doa Untuk Kekal Bertudung
“Tak pernah la netizen ini nak bagi peluang kan. Kau ingat semua keluar perut terus pandai ke?
“Nak jadi hebat kena lalui fasa ini (jatuh). Percayalah selepas dia (Sweet) lalui fasa ini dia akan kembali kuat dan hebat selepas ini,” katanya.
Dalam hantaran sama, Reen berharap isteri kepada pelakon Adam Lee itu tidak mengambil kata pusing dan ‘persetankan’ kata-kata warganet yang mengkritik dirinya.
“Sweet, tolong persetankan mereka yang mengkritik kau. Mereka yang cakap negatif ini sebenarnya mereka yang teruk.
“Yang dah berjaya pasti nampak kekuatan awak dan akan sentiasa beri sokongan. Terus melangkah dan sentiasa ceria okey,” coretnya lagi.
Terdahulu, tular video yang memaparkan kesilapan pengumuman juara dan naib juara pertandingan Bintang Kecil 2023 yang diadakan secara langsung di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak, pada Ahad.
Tidak sekadar itu, acara tersebut turut dikejutkan dengan insiden kesilapan pengumuman pemenang peserta terbaik yang disifatkan sebagai satu gimik oleh pengacara.
Program Bintang Kecil 2023 dihoskan oleh Azam Pitt dan Sweet Qismina.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Reen Rahim & Sweet Qismina