“Nak Jadi Penyampai Kena Cepat Berfikir”, Radin & Falyqh Kongsi Pengalaman Dalam Industri Radio Bersama Hero Remaja 2020

Share

Kehadiran penyampai radio Radin dan Falyqh dari team Era dan Sinar bertemu dengan 12 finalis Hero Remaja 2020 sedikit sebanyak memberi semangat dan ilmu buat kesemua peserta bagi meneruskan impian mereka untuk bergelar anak seni.

Sesi perkongsian daripada dua personaliti radio ini memberi peluang untuk mereka berkongsi pengalaman sepanjang lebih kurang 6 hingga 7 tahun berkecimpung dalam bidang penyampaian radio.

“Nak katakan kami ni banyak pengalaman tidak juga sebab sehingga hari ini pun, banyak lagi perkara yang kami belajar untuk memperbaiki diri. Apa yang penting, mereka perlu tahu matlamat dan impian yang hendak dicapai. Macam saya dulu dah tetapkan umur 26 tahun untuk menjadi hos atau penyampai berita, sekiranya tidak kesampaian maka mungkin saya masih bekerja di tempat lama,”

“Tapi Alhamdulillah tak sangka pula rezeki saya sebagai seorang penyampai radio dan hari ini saya bersama Falyqh datang ke sini untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu dan pengalaman sebagai seorang penyampai,”

“Kami percaya Hero Remaja merupakan batu loncatan buat kesemua finalis untuk masuk ke dalam industri hiburan negara, jadi saya berharap mereka akan gunakan peluang ini sebaiknya dan sentiasa bersikap rendah diri,” jelas Radin.

12 finalis Hero Remaja berpeluang untuk menonjolkan bakat penyampaian mereka di depan Radin dan Falyqh dalam sesi perkongsian tersebut. Menurut personaliti itu lagi, ada diantaranya memang mempunyai potensi dalam bidang penyampaian radio.

“Apa yang kami nampak kesemua finalis mempunyai pakej yang cukup lengkap dari segi personaliti dan rupa. Secara jujurnya, selain daripada pakej rupa, nama komersil memberi peranan sebenarnya untuk menjadi seorang personaliti yang dikenali. Tapi kalau bercakap soal lontaran suara, kami lihat ada beberapa finalis yang boleh digilap untuk menggembangkan lagi skop kerjaya mereka dalam bidang pengacaraan,” jelas Radin dan Falyqh.



Personaliti radio ini juga ada memberikan tips berguna buat finalis Hero Remaja tentang bagaimana untuk mengawal situasi ketika berkomunikasi di depan khalayak umum.

“Untuk jadi seorang penyampai, korang perlu cepat berfikir. Jika ada sebarang situasi ‘awkward’ atau tiba-tiba tergagap tak ingat skrip, korang perlu pandai untuk counter semula dengan topik-topik berkaitan yang lain. Jadi, yang sebenarnya korang kena banyak membaca untuk mengetahui dan peka terhadap isu-isu semasa,” jelas Falyqh.

“Selain daripada itu juga, seorang penyampai juga perlu professional walau apa situasi yang berlaku ketika itu. Sebagai contoh, jika menerima berita kematian sekali pun, waktu tengah ‘on air’ tu korang tetap perlu buat seperti biasa dan menahan daripada sebarang emosi negatif,” tambah Radin lagi.

Kami harapkan agar sesi perkongsian ini dapat memberikan ilmu serta gambaran buat finalis Hero Remaja 2020 sebelum mereka masuk ke dalam dunia seni yang sebenar.

Published by
Noor Ain Norman