“Nak Mak Balik Tapi Yang Tiba Mayatnya”, Suami Mangsa Kongsi Saat Isteri Dihanyut Air Deras…

Share

“Masa kejadian sekitar Asar. Ketika itu hujan lebat. Kami sudah campak barang ke seberang sebelum cuba nak naik ke atas tebing. Dalam usaha ke tebing, kurang berapa saat, kepala air  datang. Semua orang jadi panik.

“Kami beramai-ramai berpaut pada tiang jambatan. Lebih kurang 8 orang semuanya. Saya paling belakang sementara isteri di depan. Pegangan tangan saya mula terlepas dari tiang. Arus tolak dengan kuat ke tepi sebelum saya mula berenang ke tebing.

“Dari tepi tebing, saya nampak orang mula hanyut satu persatu terutama di tengah sungai. Isteri paling akhir sekali sebelum dia terlepas pautan. Saya saksikan semua itu dengan mata sendiri. Sebelum itu saya sudah jerit supaya dia berpaut kuat-kuat pada tiang itu. Dalam pada menjerit itu, saya nampak kepala isteri mula tenggelam sebelum dia hanyut depan mata sendiri.

“Jarak kami ketika itu dalam 10 meter dari tebing tetapi arus kepala air yang  laju membuatkan saya tak mampu berbuat apa-apa,’ kata Syamsul Azhar bin Ismail, 32 tahun ketika menceritakan detik cemas tragedi lemas di Sungai Buloh semalam.

Syamsul berkongsi bagaimana dia menjerit meminta isterinya agar terus berpaut di saat kepala air begitu deras melambung tubuh mereka semalam…

 

Di lokasi sungai inilah lima mangsa mati lemas selepas dilanda kepala air yang datang secara tiba-tiba

 

Hari ini hatinya berderai. Dia masih berharap isteri yang dikahwininya, Jaleha Hashim, 48 tahun kembali membahagiakan rumahtangganya tetapi takdir Allah mengatasi segalanya. Mayat isterinya adalah paling akhir ditemui oleh pasukan penyelamat yang bertungkus lumus sejak petang kejadian.

Kata Syamsul Azhar, dia masih menaruh harapan agar isterinya kembali malah sentiasa berdoa tetapi dia tahu, sesukar mana kenyataan itu, dia harus menerimanya dengan tenang.

“Dari pagi saya tidak makan. Saya tak mahu makan atau minum selagi isteri tidak dijumpai. Alhamdulillah, sekitar jam 3.50 petang tadi mayatnya ditemui,” katanya yang agak sugul kerana tidak tidur semalaman.

Dalam pada itu, Syamsul akui, sepanjang empat tahun perkahwinan, mereka suami isteri kerap memancing bersama tetapi pada pagi kejadian, arwah isterinya tidak berapa sihat kerana mereka ke klinik untuk mengambil ubat darah tinggi.

Jelasnya lagi, anak saudaranya, Silawati Zailan yang turut lemas sememangnya amat menyukai memancing dan tidak hairanlah mereka berempat sering bersama-sama ke pelbagai lokasi termasuk lauk. seperti kata Syamsul, sudah lama mereka tidak ke lokasi ini tetapi cuti tahun baru cina ini dimanfaatkan untuk bersama-sama namun berakhir dengan tragedi yang sangat memeritkan jiwanya.

“Saya sangat trauma dan tak akan memancing buat selama-lamanya. Kenangan ini sangat pahit. Mengingati isteri yang hanyut di depan mata juga sesuatu yang sangat sukar saya lupakan seumur hidup,’ katanya yang agak sugul.

 

 

Kenangan bersama arwah ibunya tersemat kukuh di ingatan adik beradik ini..(Jaleha kanan sekali)

“Saya mahukan mak balik tapi Allah lagi sayang…”

Hari ini, tiga anak Jaleha iaitu Muhammad Badrul Baharin, 21, Umie Juliana Baharin, 19 dan Siti Nurjannah Baharin, 15 menjadi anak yatim selepas emak mereka meninggal dalam tragedi lemas ketika memancing di Kem Tentera Sungai Buloh sebelum kepala air menghanyutkan lapan mangsa.

Lima darinya disahkan meninggal dunia termasuk dua beranak iaitu Rapawi Jum’ada, 37 dan anak lelakinya Jamaluddin Rapawi, 14. Mangsa lain ialah Silawati Zailan, Hashir (dari Indonesia termasuk Jaleha.

Tiga darinya selamat iaitu Syamsul Azhar (suami Jaleha), Rizal Md Desa (suami kepada Silawati) selain Taib bin Asik.

“Kami mahukan mak semula tetapi hanya mayatnya dibawa pulang. Sejak semalaman lagi kami semua berkumpul di sini tetapi Allah lebih sayangkan mak.

“Kami terakhir pun kami bertemu ketika saya mengikutnya ke kenduri di Bangi tetapi selepas itu tidak bertemu lagi, “ kata Umie Juliana yang juga pelajar kulinari di Hulu Klang.

Siti Nurjannah tidak dapat menahan sebak dengan kehilangan ibunya. Dia sering mengikut ibunya pergi memancing

 

Perasaan yang sama turut dirasai oleh Umie tatkala diminta berkongsi kenangan terakhir mengenai ibunya…

Dalam pada itu, adik bongsunya, Siti Nurjannnah tidak henti-henti menangis kerana kehilangan kasih seorang ibu malah penantiannya dari malam semalam terlerai apabila mayat ibunya ditemui tersangkut di Desa Coafield lebih kurang 12 km dari lokasi post pihak berkuasa yang terlibat dalam kerja-kerja pencarian.

Kesemua lima jenazah mangsa tragedi ini yang memancing berhampiran antara satu sama lain di kawasan kem berkenaan selamat ditemui dan terakhir sekali adalah Japawi iaitu bapa kepada Jamaludin.

Silawati antara yang meninggal dalam tragedi nahas memancing ini sementara suaminya terselamat…

Al-fatihah untuk kesemua arwah dan semoga roh mereka dicucuri rahmat. Sememangnya kejadian ini amat menyayat hati kerana kepala air ini datang datang dalam sekelip mata sehingga memerangkap mangsa dalam jumlah yang ramai.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros