Nak Sambung Belajar Ke Luar Negara, Selain MUET Apa Lagi Exam Kena Ambil?

Share

Ramai yang bercita-cita menyambung pengajian ke luar negara. Ramai yang beri pendapat, bukan calang-calang ‘result’ kerana selain tempat terhad, kos pengajiannya juga tinggi. Ini bermakna, hanya mereka yang benar-benar bijak saja berpeluang ke sana.

Selain belajar, dapat juga tengok negara luar yang cukup indah. Ada salji yang menjadi impian ramai orang ingin merasai pengalaman tersebut. Masa yang sama, kita juga dapat belajar mengenai budaya negara, pergaulan berbeza dan banyak lagi.

Pemandangan indah begini hanya boleh dilihat di luar negara

Seperti sedia tahu, selain ‘result’ yang bagus, pelajar harus cemerlang dalam ujian MUET. Ujian Muet ini memang wajib diambil selepas SPM dan STPM bagi melayakkan korang masuk ke pengajian ijazah di universiti awam dan swasta di negara ini.

Bagi yang benar-benar ingin belajar ke luar negara, ada satu lagi ujian yang wajib lulus iaitu Sistem Penilaian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS).

Apa itu IELTS?

IELTS merujuk kepada Sistem Penilaian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS). IELTS adalah ujian penguasaan Bahasa Inggeris paling popular di dunia dan menjadi penanda aras kepada tahap penguasaan bahasa inggeris pelajar di seluruh dunia. Sekiranya anda memperolehi skor yang baik dalam peperiksaan ini, ianya bakal membuka peluang yang luas untuk anda belajar di mana-mana sahaja universiti terkenal di seluruh dunia, bahkan memohon pekerjaan di luar negara!.

Untuk pengetahuan anda, IELTS telah membina reputasinya di seluruh dunia sejak penubuhannya 28 tahun yang lalu dan lebih daripada 2.5 juta pelajar menduduki ujian ini pada tahun lepas. Dengan sijil bahasa Inggeris ini, universiti luar negara akan dapat mengukur tahap penguasaan anda sekaligus kemampuan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan baik apabila melanjutkan pengajian di universiti mereka kelak.

Ramai pelajar bercita-cita mahu belajar ke luar negara

Kenapa kelayakan IELTS sangat berguna?

  • Diiktiraf di seluruh dunia
  • Ujian yang tepat untuk mengukur kecekapan bahasa Inggeris anda
  • Syarat kemasukan untuk belajar di luar negara dan syarat untuk memohon biasiswa
  • Meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris untuk peluang pekerjaan yang lebih luas terutamanya di luar negara
  • Kelayakan standard untuk semua pelajar antarabangsa.

Bagaimanakah Struktur Ujian IELTS?

Peperiksaan IELTS di Malaysia dibahagikan kepada empat bahagian dan dinilai pada setiap peringkat. Ianya lebih kurang sama dengan ujian MUET iaitu penilaian melibatkan aspek percakapan, membaca, menulis dan mendengar. Purata keputusan IELTS membentuk skor band keseluruhan bermula dengan band satu hingga band sembilan (cemerlang). Ia juga dinilai dari segi skor 5 sebagai contoh, 4.5, 6.5 dan sebagainya. Berikut adalah penerangan mengenai struktur ujian secara spesifik :

Membaca

Masa yang diperunukkan adalah 60 minit untuk menjawab soalan dibawah seksyen ini yang mengandungi 40 soalan. Seksyen ini dibahagikan kepada beberapa bahagian berlainan mengikut bentuk soalan seperti soalan objektif, mengenal pasti dan memadankan maklumat, melengkapkan ayat, dan sebagainya.

Menulis

Ujian menulis, ianya dibahagikan kepada dua bentuk soalan. Soalan pertama, anda dikehendaki menulis laporan ringkas berdasarkan info grafik yang diberikan manakala soalan kedua pula adalah soalan berbentuk penulisan esei.

Mendengar

Mungkin sukar difahami cara orang lain bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi dalam bahagian ini, anda akan diuji sejauh mana perhatian anda terhadap perbualan audio yang diperdengarkan . Sepanjang 30 minit, anda perlu mendengar setiap butiran perbualan berkenaan dan tandakan jawapan pada helaian jawapan masing-masing.

Bercakap

Bahagian ini dibahagikan kepada tiga subkategori yang berbeza, iaitu Bahagian I, II dan III. Pada Bahagian I, anda perlu menunjukkan kemahiran bercakap dengan mengadakan perbualan secara bersemuka dengan pemeriksa. Anda akan diminta untuk memperkenalkan diri dan memberikan jawapan ringkas kepada soalan yang diajukan. Masa yang diberikan adalah selama lima minit untuk menarik perhatian pemeriksa dengan kefasihan berbahasa inggeris.

Bahagian II pula,  anda perlu memberi ucapan selama dua minit mengenai topik tertentu yang diberikan oleh pemeriksa manakala bahagian 3 adalah soalan susulan berkaitan dengan topik di Bahagian II, di mana anda perlu menganalisa dan memberi pendapat anda.

Pendidikan di luar negara mendapat permintaan tinggi

Bagaimana hendak memohon untuk Ujian IELTS?

British Council Malaysia merupakan salah satu institusi utama yang mengendalikan ujian IELTS ini. Bagi membantu pelajar membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan IELTS, British Council Malaysia menyediakan kursus Bahasa Inggeris secara percuma melalui dalam talian termasuklah ujian ulang kaji IELTS. Bantuan inilah sangatlah berguna untuk anda membuat persediaan yang rapi.

Kepada anda yang ingin mengikuti kursus persediaan IELTS secara bersemuka dengan tenaga pengajar yang merupakan pakar dalam Bahasa Inggeris, anda boleh mendaftar di cawangan British Council yang terletak di Kuala Lumpur. Mereka akan membantu anda mempelajari strategi untuk meningkatkan skor sekaligus meningkatkan kecekapan anda dalam bahasa utama dunia ini. Anda boleh mendaftar di laman web pendaftaran IELTS Malaysia atau laman web British Council IELTS dengan klik pada pautan berwarna biru yang kami kongsikan di bawah.

Diharapkan dengan perkongsian ini membantu mengejar impian anda untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Akhir kata, semoga berjaya untuk anda.

Sumber : afterschool.my

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros