Dimana sebenarnya Chiba?
Jepun mempunyai 47 prefecture atau pun wilayah. Chiba prefecture adalah salah satunya dalam kawasan Kanto. Ia terletak bersebelahan bandar Tokyo. Jika nak dibandingkan dengan Malaysia, Chiba seperti negeri Melaka, manakala Tokyo adalah seperti bandar Kuala Lumpur.
Suhu
Waktu kunjungan kami ke tempat ini, suhu adalah sekitar 3 – 6 darjah celcius. Ini pada Februari lalu. Sentiasa perhatikan musim dan suhu tempatan sebelum berkunjung ke luar negara. Bolehlah mempersiapkan diri dengan apa yang diperlukan.
Bagi mereka yang tidak tahan sejuk, bawalah jaket winter, sarung tangan, penutup mulut dan hidung (mask) jika cuaca menjadi terlalu sejuk dan berangin, baju panas heattech atau long john serta pad pemanas untuk diletakkan di dalam poket.
Naratisan Shinshoji Temple
Setibanya di Narita Airport, kami bergerak menuju ke Naratisan Omotesando Street di mana terdapatkan kuil Naritasan Shinshoji. Masuk tempat ini macam masuk sebuah perkampungan kecil, penuh dengan upacara keagamaan dan ritual kepercayaan mengikut fahaman Buddha. Kuil, binaan, batuan dan aspek arkitektur yang terdapat di sini terbina sejak beratus tahun lalu dan dipelihara sehingga ke hari ini.
Kemudian kami berjalan pula di luar. Cuaca dingin membuatkan penat berjalan tidak terasa meskipun kami sedikit mendaki bukit, sambil leka memerhati kehidupan harian masyarakat di sini yang menjual dan berniaga pelbagai jenis barangan daripada cenderamata, makanan dan barangan unik Jepun.
Sammu Narutou Area
Mungkin korang rasa petik strawberi dekat Malaysia pun boleh buat. Tetapi percayalah, strawberi yang dipetik segar disini manis dan sedap. Siapa yang tidak percaya ada strawberi manis, kena datang sini.
Kami singgah ke Aiban Strawbery Farm, di mana sekeliling ini juga terdapat banyak ladang buah dan sayuran lain. Bayaran sekitar 1000 yen untuk membolehkan kita makan sebanyak mungkin strawberi dalam masa 30 minit. Simply awesome!
Choshi Railway Station
Kereta api merupakan pengangkutan utama di Chiba. Jika hendak melihat sejarah dan stesyen kereta api terawalnya, berkunjunglah ke Choshi Railway Station. Tempat ini juga cantik dalam gambar. Kiranya ‘instaworthy’, korang mesti teruja.
Tidak jauh daripada Hotel Inubosaki terdapatnya rumah api yang dibina oleh arkitek British pada 1874. Rumah api ini merupakan salah satu daripada 100 rumah api bersejarah terbaik di dunia. Rugi kalau tak pergi.
Kena panjat 99 anak tangga tu memang sedikit penat, tetapi bila sampai di atas, korang akan kagum dengan pemandangan lautan pasifik yang sangat cantik. Pada musim sejuk dan berangin hati-hati kerana angin kuat boleh menyebabkan telefon tercampak. Jika nak berselfie, pastikan korang pegang baik-baik telefon itu.
Jangan tidur sewaktu perjalanan ke Mother Farm. Ladang yang terletak di gunung Kanosan ini mempunyai pemandangan yang cantik. Korang akan nampak Teluk Tokyo dan juga Gunung Fuji. Dikatakan pada musim bunga, ia semakin cantik lagi.
Umihotaru Parking Area
Sewaktu perjalanan turun dari Mother Farm, Gunung Fuji boleh dilihat dengan lebih jelas. Pada masa sama juga matahari terbenam, pemandangan adalah menakjubkan. Umihotaru merupakan sebuah parkir yang berada di atas lautan dan menghubungkan orang ramai ke bandar Tokyo. Apabila naik ke tingkat lima, ada kawasan terbuka untuk melihat pemandangan Gunung Fuji dan aktiviti sekitar Teluk Tokyo ini. Pada waktu angin kuat, cuaca akan sangat sejuk, pastikan korang pakai baju berlapis.
Tak sah kalau datang Jepun tak rasa naik tren. Rata-ratanya masyarakat disini bergerak dengan pengangkutan awam. Tak hairanlah masa ketibaan dan berlepas tren mereka ‘on time’. Kami dibawa jalan-jalan sekitar bandarnya dan diminta memerhatikan Chiba City Manhole. Bukan Hollywood aje ada tanda jalan macam ni. Ia merupakan penutup lubang atas jalanraya dengan perincian identiti Chiba. Tidak semua tempat ada, jadi kena cari kalau nak ambil gambar.
Nishi Chiba Mosque
Masjid Nishi terletak di Pusat Budaya Islam Chiba. Pada mulanya kami bayangkan ia seperti masjid di Malaysia dengan kubah dan kawasan lapang. Tetapi masjid di sini adalah seperti sebuah surau tapi besarnya masih boleh menempatkan jemaah untuk Solat Jumaat. Student banyak pergi ke sini, sebab di sini juga menjual barang makanan halal yang diimport dari malaysia, Indonesia, Thailand juga barangan halal Jepun yang lainnya.
Boso-no-Mura (*****)
Tempat ini mesti masuk dalam senarai wajib pergi dan luangkan lebih masa di sini jika berkunjung ke Chiba. Rasai sendiri pengalaman kehidupan masyarakat Jepun, dimana kita akan dibawa melalui transasi pakaian, makanan dan rumah dari zaman kuno ke zaman moden. Masuklah ke perkampungan Samurai dan kedai yang mempamerkan seni asli Jepun.
Pada mulanya korang kena tukar pakaian di Cosplay Annex. Boleh pilih pakaian tradisional seperti Kimono, Ninja atau pakaian lebih moden. Kemudian masuk ke perkampungan Jepun ini untuk menyelami budaya dan kehidupan mereka secara langsung. Jika benasib baik, korang boleh lihat rakaman filem disini yang lazimnya digunakan sebagai set untuk cerita-cerita lama. Boso-no-Mura ini seperti Hollywood Jepun.
Sebelum korang membayangkan bosan, kami jawab awal-awal, tidak. Kami dibawa menyusuri sungai Sawara dalam cuaca dingin yang menyenangkan. Pada zaman dulu, pekan Katori ini dihubungkan melalui sungai, dimana eksport utama adalah beras. Urusan melalui sungai adalah lebih mudah berbanding pengangkutan lain.
Mereka ada undang-undang lokal yang mengatakan bangunan baru tak boleh dibina disini. Sebahagian besar rumah yang dilihat disini terbina sejak dari zaman Edo dan masih ada orang yang tinggal. Sawara City ini juga popular sebagai lokasi set filem. Antara filem pernah dirakam di sini ialah The Rising Sun (Thailand), kalau-kalau korang pernah tengok.
Aeon Mall
Lokasi membeli-belah pula jangan bimbang kerana di Chiba atau di tempat-tempat lain di Jepun, terdapat banyak Aeon Mall. Tarikan lazim buat orang Malaysia tentunya Daiso. Cari barang-barang Daiso yang tak terdapat di Malaysia dan harganya kurang RM1 daripada tempat kita. Untuk cenderamata disyorkan beli di sini.
Mega Don Quijote Narita
Dekat dengan Narita Aeon Mall adalah Don Quijote. Tempat ini pun best juga. Daripada cenderamata, kelengkapan rumah, barang penjagaan kulit dan banyak lagi dijual murah. Ramai yang borong coklat Kit Kat, Hada Labo, dan juga benda-benda unik lain disini.
Yoneya Tourist Centre
Tentang makan korang jangan risau, Chiba sedang mempromosikan pelancongan mesra muslim. Ini bermakna banyak tempat makan halal boleh didapati di sini, contohnya di Yoneya Tourist Centre. Makanan dihidangkan lengkap satu set daripada pemula, menu utama hingga ke manisan. Konsep makan di Jepun mengutamakan kesegaran. Jika makanan panas, ia hendaklah dihidang panas-panas dan dinikmati pada waktu itu juga. Jangan terkejut jika korang perlu menyiapkan sup sendiri di atas meja.
Sunrise Kujukuri
Tempat makan ini berdekatan dengan Inubosaki. Ada pelbagai menu daripada mahal (3000 yen iaitu kira-kira RM112 satu hidangan) kepada yang murah. Sambil makan boleh lihat pemandangan laut, dan restoran ini juga ada menjual barangan yang boleh dibuat cenderamata.
Umihotaru
Umihotaru mempunyai banyak kedai dan restoran. Cuba makan di food court sebab di situ ada menu halal yang boleh dipesan menerusi sistem ‘vending machine’. Serahkan kupon ke kaunter makanan yang korang mahukan dan korang akan diberi alat keloi yang berbunyi apabila makanan siap. Perhatikan label menu halal sewaktu membeli, mudah.
TAKO Takoyaki
Kedai Tako Takoyaki ini berada di bandar Chiba. Ia lembut dengan sos terbaik, sesuai dengan tekak orang Malaysia. Menurut pemiliknya, untuk buat Takoyaki yang lembut adalah lebih sukar. Ia Halal dan satu set pasti tak cukup.
Est Bambino – Junnu Shopping Mall
Jika nak merasa gabungan masakan Itali dengan sayuran segar Chiba pula, boleh berkunjung ke Est Bambino dalam Junnu shopping mall. Sayuran disini diambil segar dari ladang Takanashi. Bagi orang disini, kesegaran sayuran adalah penting dan ia nampak indah di atas pinggan dengan warna-warna terang dan menarik.
Sushi Ichizyu
Di restoran Sushi Ichizyu kami belajar cara membuat sushi. Buat sushi tak semudah yang disangkakan. Ada teknik perletakkan jari dan cara yang betul untuk menggenggam dan mengalihnya. Semuanya adalah seni dalam penghasilan makanan Jepun ini. Bagi yang tak biasa, mahu tergeliat juga tangan membuatnya.
Kanetaya Sakaemachi
Restoran ini pula diwarisi dari generasi ke generasi sejak lebih 150 tahun lalu. Paling tidak boleh dilupakan adalah kek khas yang dibuat disini, dihidangkan bersama krim dan buah segar, sangat sedap. Ia merupakan resipi keluarga dan pastikan korang beli yang tiada alkohol.
Inubosaki Hotel
Hotel ini terletak bersebelahan laut dan terdapat kolam air panas untuk pengunjung hotel. Tapi perlu diingatkan, kolam air panas di sini mengamalkan sistem tanggal pakaian sepenuhnya. Lebih baik rendam sahaja kaki di kolam air panas berasingan dan nikmati pemandangan lautan pasifik yang cantik. Ada beberapa penguin yang menjadi residen tetap hotel. Beritahu kami jika mereka masih ada sewaktu korang ke Inubosaki Hotel.
Sekeliling hotel ini terdapat kedai-kedai yang masih beroperasi hingga lewat malam. Bolehlah berjalan ke 7eleven untuk membeli snek. Hotel Kisarazu seperti kebanyakkan hotel lain di Jepun menyediakan kemudahan tv dan program On Demand. Jika terasa nak menonton filem pada waktu malam, dipersilakan.
Hotel Port Plaza Chiba
Setibanya dalam bilik disediakan sejadah, set kiblat dan tasbih. Mereka cuba menjadikan bilik disini mesra Muslim untuk menarik pengunjung Malaysia dan juga Muslim dari negara lain.
Satu perkara lain yang kami suka tentang hotel di Chiba adalah kelengkapan bilik airnya. Tandas dengan fungsi automatik, kami sanggup bayar jika ada di Malaysia. Sejurus duduk, permukaan tandas akan menjadi panas dan selesa. Bukan hanya di hotel, kemudahan ini juga ada di tempat-tempat lain seluruh Jepun.
Marroad International Hotel Narita
Hotel ini dekat dengan Narita Airport, kira-kira 15 minit perjalanan untuk anda kejar penerbangan balik ke Malaysia. Rezeki kami pada malam sebelum balik itu, dapat rasa salji yang turun lebat sekitar jam 10 malam. Rajin-rajin buka apps cuasa jika nak tahu ramalan salji turun.
Lain-lain
Banyak lagi tarikan lain yang boleh dikunjungi di Chiba. Antaranya Kamogawa Sea World, Sakura City (bandar Samurai), Tokyo Disney Resort, Country Farm Tokyo German Village di Gunung Nakogiri dan membeli belah di Mitsui dan Shisui Premium Outlet.
Chiba ada gabungan kedua-dua moden dan tradisional, jika korang nak pertimbangkan untuk rasa dua-dua. Kalau nak pergi ke Tokyo pun tidak jauh, perjalanan hanya sekitar 40 minit. Selepas musim sejuk, Chiba akan dipenuhi dengan bunga-bungaan indah dan ada yang hanya terdapat di wilayah ini sahaja.
Tahun hadapan pula ada Tokyo 2020. Chiba boleh jadi destinasi yang korang nak duduk dan buat kenangan ketika di Jepun.