“Nama Semakin Meningkat Tapi Allah Lebih Sayangkan Eddy” Pereka Fesyen Malaysia Meninggal Dunia

Share

 

Pereka fesyen koleksi lelaki Malaysia yang semakin meningkat, Eddy Mohaizz dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi.

Allahyarham difahamkan berdepan dengan komplikasi kesihatan semasa menjalani pembedahan pada pagi tadi dan disahkan meninggal dunia sekitar waktu Zuhur, hari ini.

Eddy memulakan karier terlebih dahulu bersama rangkaian Media Prima sebelum bergiat lebih aktif sebagai seorang pereka fesyen yang menumpukan kepada koleksi lelaki.

Satu ketika dahulu pada tahun 2017, koleksi seluar batiknya yang menampilkan dua orang model lelaki dan seorang kanak-kanak pernah mencetuskan perbualan di kalangan netizen. Namun, Allahyarham sedikitpun tidak terkesan dengan kata-kata tersebut dan meneruskan kerjaya dalam bidang ini.

Tahun 2020 dilihat umpama tahun yang menaikkan jenama Eddy Mohaizz apabila rekaannya semakin digemari oleh para selebriti tempatan, terutamanya untuk program televisyen.

Sut custom oleh Eddy Mohaizz yang disarungkan oleh finalis Hero Remaja 2020.
Finalis Big Stage 2020 menyarungkan jumpsuit rekaan Eddy Mohaizz.

Antaranya termasuklah rekaan malam finale pencarian Hero Remaja 2020 pada Julai lalu, program realiti Big Stage 2020 dan juga program Gegar Vaganza yang kini sedang berlangsung di saluran Astro Ria.

Salah satu rekaannya yang masih diingati ramai adalah imej comeback pengacara Gegar Vaganza, Nabil Ahmad dan sut biru langit – putih yang dikaitkan dengan imej grup K-pop.

Nabil Ahmad dalam Gegar Vaganza 2020 dalam sut neon Eddy Mohaizz.

Menurut sumber terdekat yang bekerja rapat dengan Eddy dalam setiap program berkenaan, Eddy merupakan seorang yang amat baik hati, mudah bekerja dan sukar sekali untuk mengatakan tidak sekiranya mereka ingin bekerjasama.

REMAJA ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan salam takziah kepada keluarga dan kenalan rapat Allahyarham Eddy Mohaizz.

Semoga roh arwah dicucuri dengan rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Published by
FZ