Bukan calang-calang individu boleh diangkat sebagai penerima ijazah kehormat doktor falsafah sekaligus boleh meletakkan gelaran doktor di hadapan nama mereka. Setiap yang diangkat oleh pihak universiti haruslah memiliki sumbangan yang signifikan kepada masyarakat dan sesebuah industri secara umum.
Supermodel terkenal dunia, Naomi Campbell kini bergelar doktor falsafah apabila beliau telah dianugerahkan ijazah kehormat doktor falsafah University for the Creative Arts atas sumbangannya dalam bidang fesyen secara global dan juga seorang aktivis kemanusiaan yang menjadikan fesyen sebagai wadah untuk membantu golongan memerlukan.
Telah menerima Ijazah kehormat tersebut pada Julai tahun lalu, Dr. Naomi Campbell yang kini berusia 52 tahun terharu atas penghormatan yang diberikan kepadanya itu. Beliau menerima ijazah kedoktorannya di Royal Festival Hall London, bersama ratusan pelajar dalam bidang fesyen, grafik dan perniagaan kreatif.
Memetik beberapa mesej penting daripada apa yang disampaikan beliau saat berucap, wanita tinggi lampai ini berkata, “Industri fesyen adalah kerja saya, namun ia juga minat saya, dan adalah satu keistimewaan untuk diiktiraf terutamanya kerana saya bermula dalam industri ini ketika berusia 15 tahun, dan saya tidak pernah berhenti sejak empat dekad lalu.”
Hampir 40 tahun berada dalam industri, Dr. Naomi Campbell menjadi wajah yang banyak mengubah landskap fesyen terutama dalam perjuanganya untuk dunia fesyen menjadi lebih inklusif terutamanya melibatkan mereka yang bukan berkulit putih dalam industri tersebut.
“Saya telah mendedikasikan seluruh hidup saya untuk mengubah dunia fesyen menjadi lebih baik, dengan mencabar industri untuk menguatkuasakan iklusiviti di pentas peragaan dan seterusnya untuk menjadikannya tempat kepelbagaian, penuh penerimaan yang positif dan kecantikan,” tambahnya lagi.
BACA JUGA: Throwback Supermodel 90-an Irene Santiago, Pernah Bergelar Finalis Dewi Remaja 90/91
Supermodel terkenal ini juga turut menitipkan nasihat kepada para pelajar yang turut bergraduasi pada hari yang sama, ujarnya, “Jangan biarkan sesiapa mengubah apa yang anda rasa, mengubah perjalanan visi anda dan apa yang anda mahukan untuk diri anda sendiri.”
Menghadiri majlis konvokesyen tersebut bersama ibu tercinta, Valerie Morris-Campbell, Dr. Naomi dilihat cukup chic dalam persalinan jumpsuit Burberry rona coklat cair dan stail rambutnya dilepas ringkas.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.