Seperti yang ramai sedia maklum (dan sedia royan di media sosial), isu siapakah punca terjadinya kes rogol telah hangat diperkatakan sejak Jumaat lalu apabila personaliti, Fynn Jamal meletakkan perempuan di bawah spotlight negatif.
Dalam bebenang Instagram Story yang dimuat naik oleh, Fynn mendakwa bahawa imej seksi dan gemar ber-selfie yang kerap dilakukan oleh perempuan adalah punca mengapa lelaki sukar untuk mengawal nafsu mereka. Lantas, kes berat seperti cabul dan rogol kerap berlaku di Malaysia.
Pelbagai tohmahan diajukan ke arah Fynn apabila warga media sosial terutamanya perempuan tidak bersetuju langsung dengan apa yang disebutkan oleh Fynn itu.
ARTIKEL BERKAITAN : Peguam Sifatkan Kenyataan Fynn Jamal Mengelirukan
Sehinggalah semalam apabila Fynn menjemput personaliti dan finalis Dewi Remaja 1999, Wardina Safiyyah untuk mempercakapkan mengenai isu ini.
Dalam sesi live yang dihoskan oleh Fynn sendiri, Wardina tidak berselindung dan telah menyatakan hujahnya dalam isu yang sedang hangat dicetuskan oleh Fynn sendiri beberapa hari lalu.
Menerusi klip yang kini tular di media sosial pagi ini, ini merupakan sebahagian daripada pendapat Wardina berhubung isu wanita yang dikatakan menjadi punca kejadian rogol serta cabul hanya disebabkan tidak berhijab dan berpakaian bebas.
“Tak semua orang mempraktikkan Islam. Bak kata Atikah (pengguna media sosial) tadi, semua orang (boleh) menutup aurat. Semua orang (boleh) tidak memuat naik apa-apa di media sosial.
“Namun, kes rogol telah berlaku sebelum zaman media sosial lagi. Tiada apa yang boleh menghentikannya, ia adalah satu jenis penyakit dan malangnya, ia akan terus berlaku.
“Cuma kak Dina rasa cara penyampaian Fynn mengenai isu ini iaitu perempuan seharusnya dipersalahkan adalah salah – walaupun Fynn tidak berniat untuk menuduh perempuan. Perempuan tutup aurat pun salah, tak tutup aurat pun salah.
“Hakikatnya di dalam dunia ini, tak semua orang akan menutup aurat Fynn.
“Jika semua wanita Islam menutup aurat sekalipun, tetap ada wanita yang bukan Islam (yang tidak menutup aurat. Lagipun bahan pornografi tetap berlegar di luar sana dan pelanggan/penonton pornografi teramai tetap adalah orang Islam.
Bagi Wardina, isu ini adalah kompleks dan mempunyai banyak cabang serta lapisan. Kita tak seharusnya menunding jari kepada satu pihak saja bila berlakunya isu seperti rogol.
Lantas, rogol tidak seharusnya dibincangkan dalam forum seperti ini kerana ianya jauh lebih kompleks dan tidak boleh disimpulkan dengan cara memuat naik beberapa posting Instagram Story.
Tambahnya lagi dalam isu rogol, suka atau tidak lelaki seharusnya dipersalahkan kerana majoriti faktor terjadi masalah ini datang daripada mereka.
“Antaranya seperti lelaki itu sendiri pernah menjadi mangsa (liwat), lelaki mempunyai isu psikologi dan macam-macam lagi.
Walaupun memberikan kenyataan secara ‘lepas’ saja demi kebaikan semua yang menonton sesi live tersebut, Wardina masih menyertakan nasihat untuk Fynn dalam isu ini.
Sisi Wardina ini yang tidak lokek berhujah dan kemudiannya memberi solusi kepada masalah sememangnya sinonim dengannya sejak zaman pencarian Dewi Remaja 1999 lagi yang pernah disertai oleh Rita Rudaini dan Juliana Banos.
Katanya, “Nasihat saya kepada kamu adalah untuk membuat permohonan maaf sekiranya ada yang tersalah faham akan kenyataan kamu. Kita berasa sedih di atas nasib yang melanda mangsa rogol.
“Kadangkala ada perkara yang kita cakap itu mudah disalah anggap oleh orang luar – contohnya seperti kenyataan mengambil selfies oleh Fynn. Jadi lebih baik untuk tidak bercakap mengenai itu.
“Saya sendiri pernah melalui pelbagai dugaan sehingga perlu menutup kesemua akaun media sosial saya (satu ketika dahulu). Kadangkala, it is not worth it. I just do not update anything,” kata Wardina.
Respon-respon daripada klip yang tular itu juga menunjukkan bahawa ramai yang memuji tindakan berani Wardina untuk lantang bercakap mengenai isu ini.
@pineabul menyifatkan Wardina sebagai seorang wanita yang dibentuk menerusi pendidikan yang menyeluruh dan self discovery. @EdgeDora pula berkata, “OMG Wardina is killing it”
Tak kurang juga, @elviralahweyy berterima kasih kepada Wardina kerana mewakili kesemua insan yang masih boleh berfikiran waras.
*
Apapun, mungkinkah Fynn Jamal akan mengikuti langkah menutup akaun media sosial seperti yang pernah dilakukan oleh Wardina Safiyyah, disebabkan isu yang dicetuskannya ini? Kongsikan pendapat korang.