Nasihatkan Golongan Muda Sentiasa Cabar Diri, Warga Emas Terima Gelaran Doktor Falsafah Di Usia 70 Tahun

Share

Ramai yang sudah membuktikan bahawa umur bukan penghalang untuk seseorang individu itu menimba ilmu dan mendapatkan pendidikan tertinggi jika mereka mahu.

BACA: Wanita Berusia 85 Tahun Genggam Ijazah, Bukti Umur Bukan Penghalang

Bagi seorang warga emas, impiannya untuk bergelar doktor falsafah akhirnya tercapai pada usia 70 tahun selepas enam tahun berusaha.

Dr Abdul Rahim Ramli melanjutkan pengajian dalam bidang Perancangan Bandar dan Wilayah berkata, gelaran itu diidam-idamkannya sejak dahulu lagi dan beliau menanam azam untuk berusaha mencapai impian itu selagi kesihatan masih baik.

Foto: BERNAMA

Beliau juga merupakan bekas pensyarah sambilan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari 2006 hingga 2019 dan terdorong untuk menyambung pengajian selepas melihat rakan-rakan pensyarah lain telah pun mempunyai gelaran doktor dan profesor.

“Semasa menjadi pensyarah sambilan, sekeliling saya adalah doktor dan profesor dan saya tersedar bahawa saya perlu berusaha untuk merasai sendiri gelaran itu,”

“Tanpa disedari selama enam tahun saya melanjutkan pengajian sepenuh masa, akhirnya sampai juga ke tahap ini,” jelas beliau.

Abdul Rahim turut menasihati golongan muda agar sentiasa mencabar diri untuk menyambung pengajian dan tidak mensia-siakan waktu mereka.

“Orang muda perlu belajar dan jangan lepas peluang, jangan leka dengan hiburan, gaji besar dan sebagainya sehingga kurang minat menuntut ilmu,”

“Pandemik COVID-19 ini tidak boleh dijangka, jadi mereka perlu buat persediaan awal kerana kita tidak tahu apa lagi dugaan yang kita akan hadapi pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Tahniah diucapkan kepada Dr Abdul Rahim dan semoga kisah perjalanannya ini dapat menyuntik semangat anak muda yang masih berjuang untuk menggenggam segulung ijazah.

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: (1)

Published by
Noor Ain Norman