Sekian lama tidak bersua muka dengan Noor Neelofa, semalam buat kali pertama selepas melahirkan cahaya mata Muhammad Bilal, dirinya dan suami, Haris Ismail telah membuka seluas-luas pintu untuk bersama-sama rakan media yang setia menyokong perkembangan kerjaya serta peribadinya selama ini.
Mereka hadir untuk berkongsi kisah mengenai perancangan mereka dalam kepompong industri seni setelah agak lama mereka tidak muncul di kaca televisyen demi memberi fokus pada kehidupan berkeluarga yang dibina bersama sejak Mac 2021.
Jika korang masih ingat, sebaik Neelofa meninggalkan program MeleTOP pada Disember 2019 dan muncul sebentar menerusi program bual bicara Next To Neelofa pada tahun 2020, peminatnya masih ternanti-nanti sekiranya Neelofa ada buah tangan baharu untuk dikongsikan.
Selama setahun dua ini, fokus utama mereka berdua jelas terarah kepada perniagaan dan keluarga. Lalu ramai berfikiran Dewi Remaja 2009/2010 itu sudah melupakan industri seni. Namun, itu semua nyata tidak benar apabila dia mendedahkan sesuatu yang istimewa bakal terhidang tidak lama lagi.
“Selepas berbincang dengan suami, saya akan keluar dengan program bual bicara tidak lama lagi. Ia masih dalam proses perbincangan. Nanti kita akan kongsikan selepas Hari Raya dalam sebuah sesi mengenai,” kongsi Neelofa.
Bagi Haris sebagai suami, dia sentiasa berada di sisi untuk menyokong minat dan bakat yang dimiliki oleh isterinya itu selagi ia tidak membelakangi tuntutan agama.
Kata Haris, “Kita sudahpun berbincang mengenai hal ini dengan begitu terperinci. Setiap perkara perlu seiring dengan imej agama yang dibawa; perlu berhati-hati (dengan imej tersebut) dan sebagainya. Neelofa Alhamdulillah boleh ikut, pakaian pun dia taat kepada perintah Allah SWT. Jadi, kita beri dia ruang untuknya berkarya dalam benda-benda yang dia sudah biasa.”
*
Yang pasti, fokus Neelofa dan Haris tidak akan tersasar daripada keperluan putera tercinta, Muhammad Bilal.
“Sememangnya perniagaan adalah pekerjaan utama, namun keutamaan kami yang sebenar ialah Bilal. Saya pun tidak hendak lama-lama berpisah dengannya dan serahkan kepada pembantu. Saya ingin jalankan rutin sebagai ibu lebih daripada (pekerjaan) yang lain.
“Untuk perniagaan pun, saya mudahkan proses dengan melakukannya di rumah. Jarang-jarang pergi penggambaran. Sama jugalah dengan program-program akan datang dalam industri pun, saya memilih program yang tidak akan memakan masa,” ulas Neelofa yang cantik dalam persalinan serba keemasan..
Saat ditanya sekiranya Neelofa akan melakukan comeback dalam bidang lakonan yang dahulunya menjadi bidang pertama buatnya memahat nama sebagai anak seni sebelum membina karier yang disegani dalam bidang pengacaraan, Neelofa lebih selesa menyerahkan kepada Haris untuk menjawab pertanyaan tersebut.
“Untuk lakonan, kita tidaklah kata kita tidak mahu terus terlibat langsung. Namun buat masa ini, ia bukanlah satu keutamaan. Dengan produk baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi, masa itu agak terhad. Kita fokus satu-persatu dahulu,” jelas Haris.
Kata Haris lagi yang pernah muncul dengan filem Ada Apa Dengan Dosa dan beberapa buah drama serta telefilem, dirinya juga tidak mempunyai perancangan untuk ke dunia lakonan semula buat masa ini.
Apapun, REMAJA pasti peminat Neelofa dan Haris merindui kemunculan mereka berdua di kaca televisyen setelah memberi fokus kepada kehidupan berkeluarga selama lebih setahun.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.