Berita hangat tentang selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Neelofa, dan suaminya PU Riz, yang baru-baru ini telah gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika merentas negeri sebelum ini dijangka akan didakwa pada hari esok, 20 Mei, 2021.
Menurut sumber Astro Awani, Ketua Polis Daerah Superintenden Mohd Fazley Abdul Rahman mengatakan kertas siasatan berkenaan kes pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) kedua-dua mereka yang telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan dikembalikan hari ini.
Menurut beliau lagi, hasil keputusan daripada kertas siasatan tersebut adalah mereka dituduh dibawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) (Pindaan) (No.12) 2021. Kedua-dua mereka akan dituduh di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei, 2021.
Dikatakan juga Neelofa dan suaminya telah didakwa atas pertuduhan gagal untuk mematuhi SOP PKPB apabila mereka berdua gagal untuk mengimbas kod melalui aplikasi MySejahtera mahupun menulisnya secara manual ketika ingin masuk ke dalam premis.
Manakala PU Riz pula bakal didakwa atas satu lagi pertuduhan dimana beliau tidak memakai pelitup muka ketika berada di kawasan awam terbuka, seperti yang telah ditetapkan dalam SOP PKPB.
Hukuman yang dikenakan adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.