Bintang Gegar Vaganza musim keempat, Elyana baru-baru ini memuat naik hantaran di laman Instagramnya memohon agar warganet mendoakan urusan radioterapi yang bakal dijalaninya berjalan dengan lancar.
Elyana yang menghidap kanser limfoma peringkat 4 ini sering berkongsi perjalanan rawatannya dan apa yang kami kagumi, Elyana sentiasa mengukir senyuman dan ceria tidak kelihatan seperti orang yang sedang sakit.
Penyanyi berusia 34 tahun ini juga sempat memuat naik video selepas menjalani rawatan radioterapi dengan berkongsi cerita bahawa Dewi Remaja 2009, Neelofa telah memberikannya 10 helai tudung sebagai hadiah buatnya.
Elyana menjelaskan bahawa dia hanya membawa sehelai tudung sahaja ke hospital dan tidak menyangka menerima rezeki pemberian tudung yang dihadiahkan oleh Neelofa itu.
Melalui video tersebut, jelas sekali Elyana sangat gembira serta berterima kasih kepada personaliti itu dan tidak sabar untuk menggayakannya.
Video itu juga mendapat respon daripada Neelofa sendiri yang merasa terharu melihat kekuatan Elyana dalam melawan penyakitnya itu.
“MasyaAllah, saya pula nak nangis tengok video ni. Saya kagum sebab Elyana boleh senyum dan ceria dalam kesakitan. Moga Allah kurniakan kesembuhan untuk awak,” tulisnya.
Rata-rata warganet meninggalkan komen memberi semangat buat Elyana dan ramai yang kagum dengan kekuatan semangat yang ditunjukkan oleh penyanyi wanita itu.
Kami di Remaja juga ingin mendoakan agar segala urusan rawatan Elyana dipermudahkan. Semoga Elyana cepat sembuh dan sentiasa ceria seperti selalu.
Sumber: (1)