Kemunculan penyanyi, Wani Kayrie di pentas Anugerah Televisyen Asian (ATA) Ke-28 baru-baru ini telah memperoleh perhatian ramai.
Peluang siswazah Management & Science University (MSU) itu untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa selama dua malam berturut-turut sewajarnya meraih pujian ramai pihak memandangkan Wani merupakan penghibur tunggal negara yang terpilih untuk berkongsi pentas berprestij itu bersama barisan artis dari rantau Asia Tenggara lain.
Kongsi Wani kepada REMAJA sewaktu dihubungi, dia berpeluang untuk menyampaikan tiga buah lagu (dua buah lagu pada hari pertama acara dan sebuah lagi pada hari kedua acara).
Persediaan tentulah dilakukan serba-serbi baik dari segi vokal & koreogradi serta dari segi rekaan busananya dan tata gaya di acara itu. Kesemnya dititikberatkan oleh Wani agar impiannya untuk membawa elemen-elemen dari Malaysia ke peringkat antarabangsa tercapai.
“Pakaian saya adalah adibusana (customed outfit) yang mempunyai unsur-unsur tradisional. Selebihnya, saya lakukan persediaan sendiri dari segi vokal dan tarian.
“Semestinya saya merasa terharu malah berbangga kerana ini adalah edisi kedua Wani dijemput oleh Asian TV Awards.
“Biarpun dahulunya di Filipina dan kali ini di Vietnam pula, saya amat berbesar hati kerana negara luar memandang bakat saya lebih daripada apa yang saya inginkan.”
“Peluang membuat persembahan di peringkat antarabangsa ini adalah impian setiap penyanyi yang sudah lama berkarya dalam industri dan saya rasa saya sudah mencapai tanda aras itu untuk membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa,” ujarnya kepada REMAJA.
Dalam perkembangan lain, Wani kini dalam proses menantikan demo-demo lagu daripada para komposer berbakat. Penyanyi lagu ‘Kamu Kamu’ itu juga dalam proses rakaman sebuah lagu cover yang diuruskan oleh Rocketfuel Entertainment dan khabarnya melibatkan seorang penyanyi duet.
Haa, tak sabar nak tahu siapakah gerangan penyanyi duet tersebut!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.