Dalam Negara

Negara Restui Kemenangan Sandra Lim Sebagai Miss Universe Malaysia 2024, “Saya Bersedia Jalankan Tugas…

Share

Malaysia telahpun menobatkan Sandra Lim sebagai Miss Universe Malaysia 2024 pada malam kemuncak yang berlangsung pada 6 September lalu. Sandra, 23 mengenepikan saingan 15 peserta lain sekaligus bakal mewakili negara ke pertanidngan Miss Universe, November ini di Mexico.

Sandra seperti yang diketahui ramai bukanlah nama baharu dalam dunia pertandingan ratu cantik. Malah, graduan ijazah sarjana muda Komunikasi Massa daripada City University Malaysia ini adalah merupakan naib juara pertandingan Miss Global 2022 yang berlangsung di Indonesia, tidak lama dahulu.

Bukan hanya raut paras anggun yang dimilikinya menjadi aset bernilai bagi mewakili seluruh rakyat Malaysia di Mexico kelak. Malah, Sandra juga seorang gadis yang cukup berdedikasi dalam memperjuangkan hak pendidikan buat kanak-kanak kurang bernasib baik dan ingin meneruskan misi tersebut selaku Miss Universe Malaysia.

“Saya menyertai pertandingan ini dengan penuh bersedia untuk melaksanakan tugas sebagai Miss Universe Malaysia. Gelaran ini adalah satu tanggungjawab baharu yang perlu saya pikul ke peringkat antarabangsa.

“Dalam temubual tertutup tempoh hari, saya memaklumkan bahawa saya sudah bersedia untuk membuka pintu baharu bukan sahaja untuk diri saya tetapi untuk negara kita.

“Saya rasakan semangat kenegaraan ini sudahpun sebati dalam diri saya. Saya tahu rakyat Malaysia adalah masyarakat yang paling bertolak ansur, mesra dan saling membantu. Saya percaya kualiti itu ada dalam diri saya sendiri. Moto saya, just be authetic and genuine to all the people you meet,” ulasnya usai dimahkotakan dengan tiara ‘Women Empowerment’ rekaan J & KEL’L Creation oleh Pengerusi Organisasi Miss Universe Malaysia, Datin Wira Livonia Ricky Guing.

Sandra Lim bersama pemenang Miss Universe Malaysia 2022, Lesley Cheam.

Jangkauan Tinggi Pada Diri Sendiri

Dalam pada itu, sewaktu ditebak siapakah saingan terdekatnya sepanjang pertandingan, Sandra menolak andaian kononnya pertandingan ratu cantik sebegini menjadi medan pertelagahan sesama gadis.

Sebaliknya, beliau tidak melihat rakannya sebagai pesaing malah mereka katanya kekal menyokong antara satu sama lain memandangkan mereka lebih memahami cabaran yang perlu dihadapi.

“Jika hendak diikutkan, saya rasa sayalah yang memberi tekanan terhebat terhadap diri sendiri, bukannya individu lain. Saya meletakkan expectation yang cukup tinggi terhadap diri sendiri dan cuba menjadi versi ‘Sandra Lim’ sesempurna mungkin

“Mujur, saya tersedar bahawa bukan kesempurnaan yang perlu saya kejar tetapi ketulenan diri serta hati untuk membawa perubahan terhadap perjuangan Malaysia di peringkat Miss Universe,” katanya.

Sebagai info, edisi Miss Universe Malaysia 2024 menampilkan kelainan apabila 50 peratus daripada markah penjurian hadir daripada undian masyarakat. Ini adalah langkah baharu yang cuba diambil oleh organisasi agar suara peminat ratu cantik yang sentiasa memberikan sokongan padu mereka akan didengari.

16 pesertanya juga diadili sewaktu acara bootcamp dan sepanjang minggu pertandingan menjelang ke malam penentunya, Jumaat lalu. Seorang Miss Universe Malaysia menurut organisasi haruslah bijak membawa diri secara natural dan bukannya sekadar beraksi cemerlang untuk beberapa jam di atas pentas.

FOTO: Miss Universe Malaysia

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ