Nekad Pulang Ke Kampung, Lelaki Jalan Kaki 4 Hari Dari Shah Alam Ke Tanah Merah

Share

Tindakan nekad seorang tukang masak di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Shah Alam, Muhamad Nor Ramlee balik ke kampung halaman di Tanah Merah, Kelantan dengan hanya berjalan kaki akhirnya membuahkan kejayaan.

Perkongsian di fbnya sekitar jam 11 malam tadi memaklumkan dirinya sudah selamat sampai ke rumah di Kampung Lawang, Jedok, Tanah Merah, Kelantan. Muhamad Nor yang berusia 29 tahun mengucapkan terima kasih kepada yang mendoakan dan mereka yang memberikan bantuan terhadapnya. Terima kasih kepada Setiausaha Sulit Dato PA Saudara Ahmd Nazree Ramli di atas sumbangan yang diberikan. Beliau banyak membantu perjalanan saya,” katanya berkongsi di fb miliknya.

Muhamad Nor nekad pulang ke kampung dengan berjalan kaki

Malah kira-kria sejam lalu tadi, beliau berkata mahu pergi ke hospital untuk menjalani saringan kesihatan memandangkan perjalanannya memakan masa berhari-hari. Namun katanya, kawan-kawan jangan bimbang dirinya tak akan berjalan kaki lagi.

Carian REMAJA mendapati jarak antara Shah Alam ke Tanah Merah adalah lebih kurang sejauh 400 km mengambil masa 6 jam 40 minit perjalanan menggunakan perkhidmatan bas ekspress.

Kisahnya mula menjadi tular semalam  selepas dia nekad berjalan kaki dari Shah Alam untuk pulang ke Tanah Merah. Memandangkan kerajaan  memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana rakyat perlu duduk di rumah sahaja, selepas sebulan lebih berada di rumah dengan kontrak kerja yang sudah ditamatkan 16 Mac lalu, beliau nekad memulakan perjalanannya. Malah video perjalanannya berjalan kaki termasuk kasut yang pecah  tapak berhampiran susur hentian Ipoh Utara turut disertakan dalam perkongsian di fbnya.

Tapak kasutnya pecah semasa perjalanan balik ke Tanah Merah

Dalam pada itu, Muhamad Nor akan berkongsi kenapa dirinya nekad membuat satu perjalanan ini bila tiba masanya.

Malah beliau mengakui kepenatan, kelelahan dan turut berkongsi ada menahan kenderaan tapi tiada yang mahu berhenti. Malah mengakui agak penat untuk meneruskan perjalanan tapi terus tekad untuk melakukannya.

Beliau turut berkongsi gambar anak keduanya serta perbualan mereka sebelum itu yang mana anaknya memaklumkan “papa baliklah jalan kaki”. Mungkin itulah pemangkin semangatnya untuk memulakan langkah berani ini.

24 APRIL 2020 buat panggilan video ngn anok no 2 ..

anisa : abah bila nak balik? nisa rindu ko abah
abah : xdok bas loni .. abah xleh balik ..
anisa : pah nisa tokleh jupo nge abah sapa bilo2 la ? abah balik la jalan kaki …

abah : jauhla sayang
anisa : dekat jah abah

200% semangat untuk cuba balik berjumpa anak ..

Laporan Sinar Harian semalam menyebut, seorang isteri terkejut dengan tindakan nekad suaminya yang sanggup berjalan kaki dari Shah Alam, Selangor untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Lawang, Jedok di sini walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Siti Nur Fatend Sefeai, 29, berkata, tindakan suaminya, Muhamad Nor Ramlee, 29, hanya diketahui menerusi status yang dimuat naik di Facebook semalam.

“Saya terus menghubungi suami dan dia memberitahu sudah berada di Ipoh, Perak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, dia tidak pasti sama ada suaminya itu berjalan kaki sepenuhnya atau ada menumpang kenderaan sepanjang perjalanan untuk pulang ke Tanah Merah ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa. Katanya, sebelum ini suaminya bekerja sebagai tukang masak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

“Kontraknya tamat pada 16 Mac lalu dan selepas itu dia bercadang untuk terus pulang ke rumah. Bagaimanapun dia terpaksa menangguhkan hasrat itu kerana masih belum menerima gaji dan kebetulan dua hari kemudian PKP dilaksanakan. Situasi itu menyebabkan suami tidak dapat pulang ke kampung seperti yang dirancang,” katanya.

Siti Nur Fatend berkata, dia telah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk mendapatkan surat kebenaran mengambil suaminya tetapi polis tidak meluluskan permohonan berkenaan.

Katanya, dia reda dengan keputusan itu dan berharap suaminya tiba di Tanah Merah dalam keadaan selamat dan sihat.

Tonton video di bawah.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros