Jenama fesyen viral tempatan, Behati kembali dengan koleksi Aidilfitri pada tahun ini dengan – well, you guess it – elemen viral.
Tidak sah jika bercakap mengenai rekaan jenama Behati tanpa kontroversi. Setiap satu rekaan yang pernah dihasilkan di bawah hala tuju Pengarah Kreatifnya, Kel Wen pasti akan disebut-sebut oleh warganet seperti mana yang berlaku kepada penggambaran pra-kempen Raya 2023 yang dihasilkan Behati di hadapan Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Rata-rata merasakan jenama tersebut mengenengahkan provokasi dalam berfesyen.
Apatah lagi, busana yang disarungkan model dan selebriti dalam kempen tersebut merupakan busana yang diilhamkan daripada pakaian tradisional masyarakat Melayu seperti baju Melayu dan baju kurung.
Namun, segala komentar negatif yang menyinggah di halaman media sosial Behati sama sekali tidak menyekat semangat jenama itu untuk memperkenalkan hampir 100 helaian persalinan Aidilfitri untuk koleksi hati dengan pelakon, Sharifah Sakinah sebagai muse mereka.
REMAJA menemui pelakon Girlfriend Aku Dari Neraka itu sewaktu pertunjukan fesyen Behati baru-baru ini bagi mendapatkan pandangannya mengenai kecaman yang mungkin akan diterimanya apabila dilantik sebagai muse Behati.
Tidak gentar sama sekali dengan kecaman warganet, Sakinah sebalik merasakan warganetlah yang merasa takut dengan pembaharuan yang cuba ditonjolkan oleh Behati.
“Saya tidak risau sama sekali. Saya rasa warganet yang perlu risau dengan diri sendiri sebab itu adalah perasaan mereka.
“Jika mereka merasa risau, jika mereka merasa marah, itu adalah masalah mereka. Itu bukan masalah kami, I’m so sorry,” ulas Sakinah kepada REMAJA.
Dalam pada itu, ibu kepada seorang anak perempuan ini juga merasakan rekaan Behati pada tahun ini mempunyai nilai estetika tersendiri dan bersifat logikal biarpun ramai yang mengerut dahi apabila foto-foto pra kempen yang di hadapan Pavilion Kuala Lumpur.
“Tahun ini, saya hanya menghadiri pertunjukan fesyen Raya oleh Behati sahaja. Saya gemarkan rekaannya yang ringkas tetapi mempunyai makna serta artistik. Kita benar-benar rindukan pengalaman beraya di kampung dan sudah lama tiada koleksi Raya yang meraikan semangat kekampungan.
“Saya rasa Behati berjaya mencetuskan kembali semangat tersebut. Koleksi kali ini juga amat menyelesakan, mudah dipakai dan logik. Walaupun kita berjaketkan tikar, logik sebenarnya. Kalau tiba-tiba hujan, adalah benda nak tutup kepala. Betul tak?
“Jika anda memakainya dengan penuh yakin, tiada siapa akan rasa anda pelik,” katanya.
Apa pendapat korang? Berani tak nak memakai koleksi Behati sempena Hari Raya tahun ini?
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.