Episod duka yang melanda kem terjun negara baru-baru setelah 13 penerjun beraksi hambar di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha nyata memberi kesan; bukan hanya kepada para atlet tetapi juga menimbulkan persepsi kecewa daripada pelbagai pihak.
Ini setelah penerjun bertaraf antarabangsa seperti Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Ooi Tze Liang dan Wendy Ng gagal beraksi cemerlang sekaligus tidak melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris menerusi kejohanan itu.
Ditambah pula dengan ‘drama salah faham’ yang tercetus di antara Pandelela dengan Setiausaha Agung Persekutuan Malaysia (MAS), Andy Low dan rakan pemberita baru-baru ini, tiada pihak yang mendapat apa-apa impak positif daripadanya.
Di pihak Pandelela, penerjun berusia 30 tahun itu enggan memerangkap diri dalam ‘drama’ berkenaan untuk jangka masa panjang. Sebaliknya, setelah menenangkan diri terutamanya dari segi mental selama beberapa hari, beliau pada minggu ini memaklumkan dirinya telah kembali menjalani latihan seperti biasa.
Sambil menitipkan enam nasihat ini untuk remaja di luar sana yang ingin kekal fokus untuk berjaya, kata-kata ini juga Pandelela tujukan kepada diri sendiri agar tidak mudah ‘koyak’ dengan tekanan yang datang dari pelbagai sudut.
- Utamakan mereka yang selalu ada bersama-sama dengan anda.
- Usah membiarkan emosi mengambil alih kebijaksaan minda anda.
- Jangan terlalu mengharapkan daripada orang lain.
- Setiap orang mempunyai berbeza-beza pendapat. Berhenti daripada cuba memuaskan hati semua orang.
- Usah bercita-cita untuk menjadi sempurna.
- Ketahui nilai kejujuran dalam diri anda (dan terimalah sekiranya ada orang yang tidak percaya walaupun anda bersikap jujur).
ARTIKEL BERKAITAN: Pandelela Rinong Inspirasi Generasi Muda, Usia 28 Tahun Sudah Bergelar Datuk – REMAJA
Pandelela turut menyertaikan tanda pagar ‘Never Give Up’ bagi memberi gambaran dirinya tidak akan mengalah selepas berdepan kegagalan kali ini.
Jelas, harapan tinggi diletakkan di bahu Pandelela untuk mengulangi kejayaannya menempah tiket ke Sukan Olimpik sebanyak empat kali berturut-turut bermula di Olimpik London (2012), Rio (2016) dan Tokyo (2021).
Untuk pengetahuan, hanya Bertrand Rhodict Lises setakat ini yang menjadi penerjun tunggal negara yang berjaya menempah tiket ke Paris 2024 menerusi acara platform 10 meter individu lelaki setelah cemerlang di Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun pada tahun lalu.
FOTO: Instagram Pandelela Rinong
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.