“Niat Kena Betul…”, Shaza Bae Kongsi Tip Daki Gunung Kinabalu Untuk ‘Newbie’

Share

 

Dengan pembukaan sempadan di antara negeri dan sempadan negara kini, ramai tidak mahu melepaskan peluang untuk melancong setelah sekian lama tidak dapat berbuat sedemikian. Siapa tak suka travel kan?

Saban minggu, ada saja member kita yang akan melawat ke pelbagai tempat menarik; lalu kita sendiri tergerak hati untuk memasang hajat ingin ke sana.

Jika orang lain memilih keselesaan semasa bercuti, siapa menyangka, Shaza Bae yang juga merupakan Dewi Remaja 20019 memilih untuk menghabiskan waktu cutinya dengan menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah!

ARTIKEL BERKAITAN : SHAZA BAE Is Breaking Through : Tidak Mudah Memikul Gelaran Dewi Remaja

Shaza Bae untuk paparan Majalah Remaja edisi digital, Februari 2022. Foto : Azfarina Sulaiman untuk IDEAKTIV

Gunung Kinabalu yang juga merupakan puncak tertinggi di Malaysia dan gunung ketiga tertinggi di Asia Tenggara berdiri pada ketinggian 4,095m telahpun berjaya ditawan oleh Shaza sekitar seminggu yang lalu.

Sewaktu dihubungi oleh REMAJA, pemilik nama penuh Shaza Nuriman Mohamad Zamri ini sempat berkongsi pengalaman berharga itu.

Menurutnya, perancangan untuk ke Gunung Kinabalu telah dilakukan sekitar tahun lepas lagi. Namun disebabkan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara serta kerja hakikinya yang perlu dilakukan secara back to back, hanya sekarang impiannya untuk menjejakkan kaki ke Gunung Kinabalu itu tercapai.

Menurut Shaza, slot untuk mendaki Gunung Kinabalu adalah terhad. Kebiasaannya, tempahan slot perlu dibuat seawal 10 bulan sebelum pendakian. Ini kerana jumlah pendaki yang ingin ke sana boleh tahan jumlahnya dan tempoh 10 bulan itu juga memberi ruang untuk mana-mana pendaki melakukan persediaan stamina yang cukup.

“Latihan berlari, mendaki, naik turun tangga harus dilakukan secara berkala sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum mendaki. Tetapi saya hanya sempat melakukan latihan selama dua minggu saja. Itupun latihan stamina dan bukannya training khusus untuk pendakian.

“Proses mendaki memang sukar tetapi secara peribadinya, waktu turun gunung adalah lebih sukar. Secara total, saya mengambil masa empat jam sewaktu pendakian dan lima jam sewaktu turun. Apapun, saya bersyukur kerana impian menawan puncak gunung ikonik ini telah saya capai,” kongsi pelakon Nusyuz Berkiblat Cinta ini.

ARTIKEL BERKAITAN : Shaza Bae Selesa Di Sebelah Nadhir Nasar

Menariknya, Shaza turut berkongsi beberapa tip untuk para ‘newbie’ yang ingin mendaki di Gunung Kinabalu sepertinya.

 

  1. Lakukan latihan

“Bagi korang yang plan untuk ke puncak Gunung Kinabalu, wajib jalani latihan. Ini kerana kebarangkalian untuk korang cedera ketika mendaki adalah sangat tinggi tanpa latihan yang cukup.

Trek Gunung Kinabalu kebanyakannya bertangga. Semakin lama tenaga semakin berkurangan, nak melangkah satu anak tangga pun kaki mula terasa berat. Kekuatan mental dan fizikal perlu kuat. Hakikatnya, tidak semua orang akan berjaya ke puncak atas faktor stamina, kesihatan, kecederaan dan cuaca.”

 

2. Jaga niat

“Sangat penting menjaga niat, adab dan pertuturan. Kita di tempat orang, tambahan pula di dalam kawasn hutan dan gunung pula.”

 

3. Sediakan semua keperluan 

“Sediakan benda-benda penting seperti pakaian bersesuaian seperti sweater, fleece dan  sarung tangan kalis air kerana cuaca di sana sangat sejuk tambahan. Perjalanan mendaki pula bermula seawal 2 pagi jadi cuba sajalah bayangkan kesejukannya.

“Ubat-ubatan juga penting. Semakin tinggi, persekitarannya semakin sejuk dan udara semakin menipis. Ada pendaki yang akan mengalami simptom Accute Mountain Sickness (AMS) iaitu sukar bernafas dan sakit kepala. Jadi sediakanlah ubat yang sepatutnya.”

 

4. Pilih kumpulan yang betul

“Ini bukan kali pertama saya melakukan aktiviti hiking. Sebelum ini saya pernah tawan gunung di Indonesia. Jadi pemilihan rakan pendaki adalah penting. Merekalah yang akan memberikan semangat dan kekuatan secara mental, terutamanya sewaktu tenaga kita mula lemah.”

BACA LAGI : 12 Tempat Hiking Paling Best Untuk Korang Yang Baru Nak Berjinak

Semoga perkongsian tip pendakian daripada Shaza Bae ini dapat menaikkan lagi semangat korang yang bercadang untuk untuk menakluki puncak Gunung Kinabalu.

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana