Perlaksanaan akad nikah secara online atau melalui sidang video ketika Perintah Kawalan Pergerakan telah pun dibenarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Perseketuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memudahkan urusan kedua-dua pihak pasangan pengantin untuk melangsungkan perkahwinan ketika musim PKP ini.
Nurul Fatin Nazari, 24, baru sahaja melangsungkan perkahwinannya secara online semalam, memberitahu bahawa pasangan yang mengambil jalan untuk bernikah di atas talian ini sebenarnya bukan kerana suka-suka, tetapi ada sebab kenapa mereka perlu memilih jalan ini.
“Sepatutnya, saya dan pasangan, Rosdell Rosli akan melangsungkan perkahwinan kami pada 4 April lalu. Namun, siapa sangka wabak COVID-19 telah melanda dunia, jadi kami terpaksa menunda pernikahan tersebut,”
“Jadi hari tu JAIS bagi khabar baik untuk meneruskan pernikahan pada pasangan yang dah menyempurnakan segala borang nikah untuk dilangsungkan secara online. Kami pun mengambil keputusan untuk melangsungkan sahaja pernikahan secara online disebabkan ujian HIV yang diambil akan tamat tempoh dalam masa 6 bulan ini saja,”
“Mungkin kalau siapa yang tak tahu, ramai yang menganggap pasangan yang mahu menikah secara online ni seperti tidak sabar-sabar nak berkahwin. Tapi sebenarnya, jika ujian HIV yang telah dibuat tamat tempoh, kami perlu melakukan sekali lagi. Prosesnya juga bukanlah mudah. Seharian kami menunggu untuk melakukan ujian itu. Jadi, untuk mengelakkan daripada membuat kerja dua kali, kedua-dua pihak keluarga sebulat suara bersetuju dengan keputusan untuk melakukan akad nikah secara online ini,” jelas Fatin.
Bercerita tentang pengalaman bernikah secara online, Fatin Nazari mengakui bahawa ini merupakan antara pengalaman yang paling akan diingati buat dia dan pasangan. Tidak semua pasangan mempelai dapat merasai pengalaman dinikahkan secara online, tambahan pula dalam keadaan pandemik seperti ini.
Fatin juga turut berkongsi cerita tentang proses pernikahan yang dilakukan secara online.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Proses nikah online ni sebenarnya tak susah pun sebab semua borang memang saya dan sediakan. First, kena hubungi orang JAIS/JAWI dekat kawasan daerah tempat tinggal korang. Kemudian mereka akan beri penerangan melalui WhatsApp. Kemudian mereka akan meminta pengesahan atas persetujuan pasangan pengantin dan keluarga,”
“Kemudian JAIS akan beri kita borang online yang perlu disubmit kepada mereka. Memanglah mereka juga ada mengatakan jika boleh ditangguh pernikahan adalah lebih baik, tapi disebabkan alasan kami tentang ujian HIV itu kukuh, maka mereka beri keizinan,” jelas gadis ini lagi.
“Segala proses dilakukan dengan sangat mudah. Majlis berlangsung lebih kurang 20 minit sahaja. Cuma, ada part yang macam line internet tersangkut sikit, suami saya perlu lafaz akad sekali lagi. Hehe! Lafaz akad hendaklah dilakukan sehingga pihak JAIS berpuas hati.
Berikut merupakan video yang juga telah dikongsi oleh Fatin Nazari kepada pihak Remaja.
Fatin juga turut melakukan Instagram Live untuk berkongsi momen indah ini bersama rakan-rakannya.
“Kalau ikutkan memang agak sedih sebab banyak benda kami dah rancang. Katering, jurugambar perkahwinan semua sudah dibuat bayaran. Ada yang terpaksa ‘burn’ dan ada juga pihak yang memahami, memberi refund
. Tapi nak buat macam mana, mungkin ada hikmah dengan setiap apa yang berlaku ini. InsyaAllah jika keadaan sudah kembali seperti biasa, kami akan melakukan majlis kenduri di masa akan datang,”“Namun, sekiranya situasi ini berlarutan terlalu lama, mungkin juga kami akan batalkan sahaja majlis kenduri tersebut. Semuanya kami serahkan kepada Allah SWT,” katanya lagi.
Kami di pihak Remaja ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru Buat Nurul Fatin Nazari dan pasangan, Rosdell Rosli dan semoga segala urusan korang dipermudahkan.
InsyaAllah, jika ada rezeki nanti, boleh dilakukan majlis kenduri perkahwinan dengan sempurna.