Kebelakangan ini, terdapat banyak perkara terjadi seperti kes bunuh yang menyayat hati melibatkan mangsa seperti Nur Farah Kartini, Zayn Rayyan dan beberapa mangsa sebelum ini.
Pada masa yang sama, ada diantara kita yang turut menumpang gembira di atas beberapa kisah penghijrahan selebriti atau mungkin orang sekeliling yang kini lebih memilih untuk fokus dengan menambah ilmu agama agar menjadi seorang hamba lebih baik.
Dalam pada itu, personaliti terkenal, Fedtri Yahya turut mengambil kesempatan dengan mengingatkan masyarakat terutamanya umat Islam bahawa dunia semakin hampir dengan kiamat susulan kes pembunuhan yang semakin meningkat.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di aplikasi Tiktok, Fedtri berkongsi sebuah gambar dengan tajuk berita ‘Maraknya pembunuhan tanda akhir zaman’ dan berkongsi hadis mengenai perkara tersebut.
“Ketahuilah bahawa peristiwa pembunuhan merupakan antara isyarat yang semakin jelas kelihatan sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: ‘Menjelang kiamat nanti, hari banyak dipenuhi dengan al-Harj. Saat itu ilmu menjadi hilang dan kejahilan tersebar di mana-mana. Abu Musa berkata: ‘al-Harj bermaksud pembunuhan menurut dialek orang Habsyi.’ (Hadis Riwayat al-Bukhari)”
Tambah Fedtri, antara punca seseorang bertindak di luar batasan waras manusia adalah disebabkan amalan gaya hidup yang tidak sihat dan apabila kita mengalami kecelaruan minda, ia mendorong sesetengah orang untuk bertindak di luar kawalan.
“Gaya hidup tak sihat, termasuk kurangnya aktiviti fizikal, pola tidur yang buruk dan membiasakan makan sajian tidak sihat, sekaligus menjadi faktor intelektual menurun. Apabila minda bercelaru dan pemikiran tidak stabil, ia mendorong seseorang bertindak di luar kawalan sehingga sanggup melakukan perkara ‘lari’ daripada batasan waras manusia”
Selain itu, personaliti televisyen itu juga turut berkongsi mengenai hadis yang menyatakan antara salah satu tanda-tanda akhir zaman adalah jumlah kes pembunuhan sama bilangannya seperti penghijrahan kepada Rasulullah SAW.
“Rasulullah SAW bersabda: ‘Ibadah pada saat terjadinya al-Harj (pembunuhan) adalah seperti orang yang hijrah kepadaku.’ (Hadis Riwayat Muslim)”
“Ungkapan hadis itu jelas memberitahu, nilai ibadah pada zaman banyaknya berlaku pembunuhan sama dengan nilai hijrah kepada Rasulullah SAW. Disebabkan itulah Islam begitu mengharamkan sebarang bentuk kemudaratan, kezaliman, penganiayaan dan pembunuhan ke atas orang lain tanpa hak,” jelasnya lagi.
Walau apa pun, jika dilihat semula, memang sudah banyak tanda akhir zaman yang sudah terjadi. Sebagai seorang muslim, semoga peringatan yang dikongsikan ini dapat dijadikan iktibar agar kita lebih muhasabah dalam menjadi seorang hamba yang taat kepada tuhan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.