Nina Amin terlebih dahulu melangkah ke dalam bidang peragaan sebelum kemunculannya di pencarian Dewi Remaja 2019 lagi.
Segalanya berlaku secara tidak disengajakan. Hendak dibuat cerita, Nina diyakinkan oleh kakaknya sendiri untuk mengambil alih posisi seorang model sewaktu penggambaran fesyen buat bidikan Majalah Hijabista pada waktu itu. Ternyata, perhitungan kakaknya itu menjadi.
Nina punya sentuhan istimewa apabila beraksi di hadapan lensa. Karakter pemalu yang awalnya menebal pada diri Nina langsung berubah menjadi seorang gadis lincah. Pergerakannya tidak dibuat-buat, segalanya tampak natural pada mata jurufoto dan kru yang bertugas.
Saya kira, itulah yang didefinisikan sebagai alter ego. It is okay to be shy, but throw that away once your magical touches are desired in front of the camera.
Kemunculan Nina pada hari sulung uji bakat Dewi Remaja 2019 di bangunan Kumpulan Media Karangkraf masih jelas dalam ingatan saya. Masakan tidak, saya yang pada ketika itu diapit oleh the Anzalna Nasir dan pengarang eksekutif kanan Astro Awani, Hafidah Samat merupakan panel juri pertama yang bertentang mata dengan Nina di medan uji bakat.
Di sana-sini kedengaran bisikan, “Nina dah sampai..” atau “Nina, alah yang selalu shoot fesyen tu..” sehingga membuatkan kami bertiga teruja untuk menemuinya. Malangnya, Nina tidak hadir dengan persediaan lengkap dan kami memohon agar dia muncul semalam pada keesokan hari.
“Saya telah lakukan yang terbaik, tapi malangnya saya tidak dapat lepas percubaan pertama. Saya ingat lagi selepas menerima rejection daripada juri, saya masuk ke kedai buku di sana, menghampiri sudut kedai dan menangis keseorangan di situ (ketawa) sementara menunggu ayah saya datang untuk menjemput.
“Yes, I felt disappointed at that point of time; mungkin kerana saya telah lama menantikan masa paling sesuai untuk menyertai Dewi Remaja. Tapi saya tidak biarkan perasaan itu berpanjangan kerana bila lagi peluang ini akan tiba. Hari kedua uji bakat, saya kembali dengan semangat baharu dan tidak sangka pula, saya dapat,” imbasnya sewaktu kami saling bertemu di studio pada hari tersebut.
“Just go for it. Life is too short to not try things that you have always wanted to do..”
Sebaik terpilih sebagai sebahagian daripada 12 finalis akhir pencarian Dewi Remaja 2019, jodoh Nina bersama kami tidak berpanjangan. Nina akur apabila namanya diumumkan sebagai finalis kedua yang meninggalkan program. Cabaran lakonan menjadi titik noktah dalam perjalanannya di Dewi Remaja setelah juri mendapati Nina kurang menonjol pada episod tersebut berbanding rakan yang lain.
Begitupun, itu sama sekali tidak menjadi aral untuk dia berhenti mengorak langkah sebagai seorang model generasi baharu. Dalam fikiran Nina, tidak mustahil untuknya membina nama dalam bidang ini.
“Selepas menamatkan perjalanan dalam program Dewi Remaja 2019, saya hadirkan diri ke uji bakat The Models Lab KL yang merupakan sebuah agensi model tempatan. Oleh kerana ini adalah uji bakat profesional pertama saya, rasa gugup itu tidak mungkin dapat dipisahkan. Ramai model-model lain turut mencuba nasib pada hari tersebut, they are very tall… very skinny.
“Secara peribadinya, saya tidak meletakkan harapan menggunung pun untuk disenarai pendek.
“Alhamdulillah, orang kata rezeki selalunya hadir tanpa disangka-sangka. Saya diserap masuk sebagai salah seorang wajah terbaru agensi The Models Lab KL dan sehingga kini, saya masih diwakili mereka serta berterusan melakukan kerja yang saya minati di hadapan kamera,” kata pemilik gelaran Dewi Inspirasi 2019 ini.
ARTIKEL BERKAITAN : SHAZA BAE Is Breaking Through : Tidak Mudah Memikul Gelaran Dewi Remaja – REMAJA
Berbalik kepada keistimewaan model tempatan yang punya sisi alter ego masing-masing sebaik melangkah masuk ke set penggambaran, Nina Amin turut tidak terkecuali – she just got ‘it’! Apakah yang dimaksudkan dengan ‘it’ tersebut? Karakter semulajadinya yang pemalu perlahan-lahan berjaya dikikisnya demi melebarkan lagi potensi yang ada selaku seorang peragawati yang boleh menginspirasikan generasi seterusnya.
“If I stay shy all the way, sampai bila-bila pun saya tidak boleh maju. mudah cerita, fake it till you make it.”
“Normal lah untuk seseorang itu merasa kaku pada kali pertama. Sebab itulah pentingnya untuk seorang model melakukan homework. Telek foto-foto rujukan, layari laman web yang terpampang pelbagai paparan fesyen dan kempen kecantikan. Laman Pinterest dan program seperti America’s Next Top Model memang adalah ‘pusat rujukan’ sejati saya demi mempelbagaikan kreativiti bergambar.
“Paling penting, jangan pernah berhenti belajar. Rapatilah model-model senior yang lebih berpengalaman dan minta tunjuk ajar daripada mereka,” nasihat Nina yang masih merasakan dirinya bertuah apabila dikelilingi figura-figura hebat industri peragaan Malaysia seperti Tuti Noor, Tengku Azura, Amber Chia, Nasha Aziz dan ramai lagi.
Tambah Nina, misi utamanya adalah untuk kekal bertahan selama supermodel kelahiran Malaysia tersebut. Sekiranya mereka mampu, mengapa tidak Nina Amin?
Bayangan glamor yang selalu dikaitkan dengan dunia fesyen hakikatnya berhenti setakat di situ – satu bayangan. Di sebalik all the glitz and glamorized visuals dalam sesebuah penggambaran kempen, fashion spread mahupun video-video melibatkan klien ternama, amatlah penting buat Nina menyematkan ciri-ciri seperti displin diri, komitmen dan sifat tidak mudah putus asa dalam diri sekiranya ingin bertahan lama.
Perihal call time, cara pembawakan diri dengan klien, berpakaian dan percakapan semakin sebati dengan diri Nina. Menganggap perjalanannya masih jauh dalam industri fesyen di Malaysia; Nina sama sekali tidak menidakkan peluangnya untuk mara ke tahap yang lebih tinggi hatta sehingga berkelana ke luar negara sambil melangsaikan tugasan sebagai model.
Jika baru-baru ini, masyarakat boleh berbangga dengan beberapa model kelahiran Malaysia yang berjaya memahat nama di pentas minggu fesyen antarabangsa; tidak mustahil sasaran impian Nina Amin untuk memperoleh peluang sama satu hari nanti akan terlaksana jua.
ARTIKEL BERKAITAN : Syamira Nazir Is Breaking Through : Hijab Bukan Penghalang – REMAJA
BACA LAGI : 2 Lagi Model Malaysia Pikat Perhatian Di Minggu Fesyen Antarabangsa – REMAJA
KLIK PAUTAN video di bawah untuk menonton temubual kami bersama Nina Amin.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.