Penyanyi dan peserta Gegar Vaganza musim ke-11, Ning Baizura menyatakan bahwa beliau berpuas hati dengan persembahannya dan tidak terlalu kisah jika markah yang diberikan juri terpaksa dipotong kerana membawakan lagu sendiri.
Menurut pelantun lagu Awan Yang Terpilu itu, pada persembahan yang berlangsung di Auditorium MBSA, Ahad semalam. Ning lebih terkenang mengenai perjalanan kerjayanya sebagai anak seni selama 30 tahun ini.
Pada masa yang sama, beliau terkenang akan pengorbanan ibunya yang terpaksa berpencen awal sebagai seorang guru demi menguruskan dirinya seorang diri selepas pemergian bapa tercinta.
“Walaupun Datuk Syafinaz minta untuk ‘control’ tapi saya berpuas hati dengan persembahan tadi dan tak kisah dengan pemarkahan sebab tadi saya lebih teringat dugaan perjalanan saya dari bawah sehingga hari ini”
“Macam-macam dah jadi, pernah juga kena tipu dengan ‘manager’ sebab iyalah kita orang jalanan bukan orang kayangan. Jadi, perasaan itu banyak bermain tadi tapi saya cuba untuk ‘chill and relax’,” ujarnya ketika ditemui media selepas persembahan #GV11.
“Cuma dihujung lagu saya tidak dapat menahan sebab perasaan dah lama tak nyanyi lagu ini tetapi kena nyanyi balik itu lain macam. Alhamdulillah, saya terharu bila satu dewan ikut nyanyi sama jadi saya naik bulu roma,” jelas Ning penuh rasa syukur.
Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Kajang, Selangor itu juga teruja menantikan minggu seterusnya apabila diberikan tugas untuk membawakan lagu bergenre Rock nyanyian asal kumpulan Wings ‘Sejati’ bertemakan ‘Ceritera’ dimana setiap peserta harus menyanyikan lagu yang berkait rapat dengan kisah perjalanan hidup mereka.
“Rasanya ini masa untuk saya tunjukkan bahawa kita boleh jadi seorang penyanyi yang versatile dan saya mahu lihat sama ada orang boleh terima atau tidak saya nyanyi lagu Sejati,” katanya.
“Ya saya sahut cabaran dan mungkin akan bawa gaya saya tersendiri tanpa merosakkan lagu tersebut. Lagu ini merupakan ‘trademark’ kumpulan Wings dan saya memang minat Awie. Jadi saya tidak akan tukar lagu walaupun diberi pilihan untuk membawakan lagu pilihan sendiri,” jelasnya lagi.
Tambah Ning, beliau juga menantikan reaksi penonton kerana ini merupakan kali pertama dia bakal mempersembahkan lagu Rock.
“Dua minggu berturut-turut ini saya asyik bekerja tapi inshaAllah, minggu hadapan saya akan all-out sebab saya tiada persembahan lain. Jadi mungkin saya akan minta tip dan masukkan sedikit aura Awie pada persembahan akan datang,” ujarnya.
Gegar Vaganza 11 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 12 minggu, setiap Ahad.
Kesemua peserta yang masih kekal diadili oleh juri tetap iaitu Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Datuk Ramli M.S.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.