Fenomena yang dicetuskan oleh naskah Astro Originals, Projek: High COuncil sepanjang tayangan sepuluh episod masih dapat dirasai hasil sokongan para penonton di Malaysia dan negara luar.
Impak drama lakonan pelakon muda berbakat seperti Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Daiyan Trisha, Naim Daniel, Hazeeq Dean dan Fazziq Muqris itu cukup dirasai tatkala ruang legar Suria KLCC penuh dengan kehadiran para peminat drama tersebut.
Dalam pada ramai memuji lakonan, jalan cerita dan keunikan Projek: High Council, tidak kurang juga sesetengah pihak yang merasakan populariti yang diterima oleh naskah tersebut boleh bertukar negatif memandangkan adanya beberapa babak yang menayangkan adegan pergaduhan, buli dan beberapa lagi babak yang dikategorikan di bawah jenayah.
REMAJA menemui peneraju drama tersebut, Nadhir Nasar di majlis tayangan perdana Ramadan Raya Astro bagi mendapatkan pandangannya mengenai dakwaan di media sosial ini.
“Sebagai manusia, kita selalu lebih rela ‘comfortablize’ rather than uncomfortable truth. Kita tidak boleh lari daripada realiti. Apa yang kita bincangkan itu ada kebenaran dan realitinya, ada moral di sebalik apa yang kita cerita itu (merujuk kepada jalan cerita melibatkan kes buli dalam drama Projek High Council).
“Untuk memperoleh kandungan moral drama itu, you kena meneliti kandungan seluruh 10 buah episod itu.”
ARTIKEL BERKAITAN: Nadhir Nasar – Tiada Lagi ‘Hilmi’, Projek: High Council Papar Realiti Asrama Pelajar Lelaki – REMAJA
“Biasa je jika ada sesetengah ibu bapa takut menghantar anak mereka ke sekolah berasrama penuh sebabkan ada kes pergaduhan dan buli. Sebabkan ada cerita seperti inilah, sekolah akan memperketatkan lagi kawalan warden dan sebagainya.
“Orang tidak akan exposed (kepadanya) jika orang tidak tahu-menahu mengenainya. Dan jika ia tidak diketahui masyarakat umum, maka kita tidaklah dapat melihat apa-apa perubahan berlaku (merujuk kepada perubahan pada kawalan keselamatan sekolah),” ulas Nadhir yang sekali lagi dipilih sebagai wajah kempen Ramadan Raya Astro untuk tahun kedua berturut-turut.
Jadi Diri Sendiri
Timbul juga kegusaran dalam kalangan warganet apabila melihat kepada populariti pelakon-pelakon muda seperti Amir Ahnaf dan Hazeeq Dean yang diangkat seiring dengan watak yang dimainkan dalam drama Projek: High Council.
Bagi segelintir penonton, mereka merasakan ada kemungkinan karakter-karakter pembuli akan terus berleluasa di sekolah-sekolah di Malaysia terutamanya melibatkan sekolah berasrama penuh kerana para pelajar terpengaruh dengan lakonan mereka menerusi drama ini.
Menjawab persoalan ini, Nadhir dengan tenang mengingatkan bahawa Projek: High Council ialah sebuah naskah hiburan yang diselitkan dengan beberapa kes yang diinspirasikan daripada realiti sebenar yang berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh. Namun bagi menjadikannya lebih menarik, sebahagian babak ‘ekstrem’ tersebut perlu didramakan demi memberi penangan yang lebih padu kepada para penonton.
“When it comes to a story, there must be a fairytale side. Perlu ada elemen gimik demi mengangkat seorang antagonis dalam sesebuah penceritaan itu dan agar wataknya disukai orang ramai. Tetapi itu hanyalah cerita.”
“Watak-watak ini tidak melambangkan seseorang yang berkelakuan sebegitu dalam kehidupan sebenar akan popular dan disukai rakan-rakan sekolah atau masyarakat,” katanya sambil menyifatkan bahawa para pelajar terutamanya di peringkat sekolah menengah perlu meniru aksi atau karakter seperti Fakhri, Kahar, Naim atau Ariz demi bertukar popular i di sekolah.
“Oh tidak, no no. Kamu hanya perlu menjadi diri sendiri. Tidak perlu berkelakuan sebagai pembuli atau macho tidak bertempat hanya untuk popular seperti watak dalam Projek High Council. Harus jadi diri sendiri saja, tak perlu jadi orang lain atau puaskan hati orang lain. InsyaAllah kamu akan jadi orang yang baik,” tuntas juara Hero Remaja 2020 itu.
Sementara itu, Nadhir Nasar juga memaklumkan kini sedang terlibat dalam penggambaran sebuah filem epik yang juga merupakan projek filem pertamanya.
BACA LAGI: Watak Sampingan Pun Boleh Beri Kesan! Nadhir Nasar Diiktiraf Asian Academy Creative Awards – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.