Nombor Satu! Filem Pengarah ‘OlaBola’ Kutip RM24 Juta Lepas 3 Hari Tayangan Di China

Share

 

Filem debut pengarah Malaysia disegani, Chiu Keng Guan di China bermula dengan langkah kanan apabila ia tersenarai di tangga pertama carta filem terkini negara tersebut.

Chiu Keng Guan yang terkenal sebagai pengarah filem OlaBola pada tahun 2016 sekali lagi mencipta fenomena hasil kreativitinya dan kali ini, ia amat membanggakan apabila negara luar seperti China pula yang mengiktiraf beliau.

Filem berjudul On Your Mark ini baru saja ditayangkan di sana bermula 18 Jun lalu dan respon yang diterima daripada para penonton cukup memberangsangkan; apabila ia telah meraih kutipan hampir RM24 juta selepas tiga hari tayangan.

Malah pada hari pertama On Your Mark ditayangkan, siapa sangka ia mampu meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM8.7 juta?

Memang hebat!

On Your Mark mengisahkan tentang seorang remaja bernama Xiao Erdong yang bercita-cita untuk menjadi seorang pelari maraton seperti ibunya. Namun cita-cita itu dihalang oleh ayahnya, Xiao Daming kerana tidak mahu anaknya itu kecewa kerana dia berkemungkinan mewarisi sindrom buta seperti ibunya yang telah meninggal dunia.

Tanpa pengetahuan ayahnya, Xiao Erdong curi-curi melihat dan berlatih di luar padang. Malang sekali semasa cuba melayakkan diri dalam sebuah pertandingan maraton, dia terjatuh dan mimpi ngeri ayahnya itu menjadi kenyataan apabila anaknya disahkan buta.

Selain jalan cerita, skrip yang mantap dan sentimen ‘jangan berputus asa’ yang jelas dirasai dalam filem ini, On Your Mark

juga, penulis percaya, mencapai kejayaan ini hasil lakonan berkesan nama-mana besar dari negara China seperti Yanhui Wang, Youhao Zhang, Beibi Gong, Wenjuan Feng, Junhao Li dan Jinshan Liu.
Yanhui Wang sebagai ayah, Xiao Daming.
Youhao Zhang sebagai Xiao Erdong

Dan tentunya, hasil arahan Chiu Keng Guan yang terkenal dengan terapan tema perpaduan, kekeluargaan, persahabatan dan semangat patriotisma dalam karya beliau meletakkan On Your Mark pada aras tersendiri.

Terdahulu, Chiu Keng Guan pernah mencipta karya seni berfenomena seperti filem OlaBola (2016), Think Big Big (2018) dan The Journey (2014). Masing-masing pernah mengukit kejayaan besar dan filem terakhirnya, Think Big Big berjaya menembusi pawagam di negara China dan menjadi filem dari Malaysia pertama yang mendapat peluang ditayangkan di 10,900 buah pawagam dengan sejumlah 60,079 tayangan di sana.

“Sebagai pengkarya filem Malaysia, saya amat gembira ‘On Your Mark’ menerima sokongan padu di hari pembukaannya di China. Saya harap On Your Mark akan terus berjaya dan saya tidak sabar untuk persembahkan filem ini di Malaysia tidak lama lagi.” – Chiu Keng Guan

via GIPHY

*

Penulis pun tidak sabar hendak menonton On Your Mark sejurus selepas pawagam di negara kita dibenarkan untuk kembali beroperasi. Harapnya, penerbit filem ini iaitu Astro Shaw akan membawanya ke pawagam Malaysia tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN : Pengarah Filem Ola Bola, Melebarkan Sayap Ke China Menerusi ‘On Your Mark’.. – REMAJA

Untuk pengetahuan, sehingga kini OlaBola dan The Journey masih tersenarai dalam Top 15 kutipan filem tertinggi dalam sejarah tayangan di Malaysia.

Published by
FZ