Norman Hakim Akui Dia Bapa Sporting Terutama Soal Cinta Anak-Anaknya

Share

Setiap ibu bapa pasti akan menyokong keinginan anak asal tidak terlalu berlebihan dan memberi kemudaratan. Didikan yang baik disamping ketegasan antara aspek yang menjadi keutamaan dalam membesarkan anak-anaknya yang dilihat semakin mencabar terutama di zaman media sosial ini.

Pasti ramai yang tahu anak Norman Hakim dan bekas isteri Abby Abadi yang sudah pun memasuki usia remaja dan sering menjadi tumpuan masyarakat kerana mampu menghafaz al-Quran. Anak sulungnya, Mohamed Danish Hakim, 16 pada tahun lalu terpilih antara  10 pelajar  melanjutkan pengajian hafazan di sebuah institusi pengajian Islam, Mekke Kuran Kursu di Isparta, Turki malah tahun ini pertama kali Danish Hakim menjadi imam solat tarawih di Pusat Pengajian Warga Emas Darul Ilmi MAIWP. Didikan hafazan ini turut dititik beratkan kepada anak keduanya Marissa Dania Hakim, 14 dan Maria Danisha Hakim, 12.

Inilah keluarga besar Norman Hakim dan kisah-kisah kejayaan mereka mendidik anak-anak dengan al-Quran sering jadi tumpuan masyarakat.

Dalam satu temubual, pelakon ini memaklumkan, dia tidak kisah jika anak-anaknya ada mengikut minatnya dalam dunia seni namun mereka harus menghabiskan dahulu hafazan al-Quran.

“Saya sentiasa menyokong apa keinginan anak-anak namun semua itu ada batasannya. Kalau ada antara mereka yang mahu terlibat bidang seni, namun saya akan beri guide kerana dunia seni ini bukanlah seindah pandangan ramai,” katanya.

Norman Hakim akui dia tahu dengan siapa anak-anak berkawan malah dia juga turut menjadikan dirinya ‘kawan’ kepada anak-anaknya untuk jadi lebih rapat dengan mereka

Bapa yang sporting?

Ditanya adakah dia bersikap sporting terhadap anak-anak terutama soal cinta, kata Norman Hakim dia bersikap terbuka dalam isu cinta.

“Maksud saya terbuka ini bukanlah bermakna anak-anak bebas keluar dating atau chat sana sini. Maksud saya terbuka ini, saya jadikan anak-anak sebagai kawan agar saya boleh tahu dengan siapa mereka berkawan dan sebagainya.

“Saya kenal dengan kawan lelaki dan perempuan anak-anak saya. Dalam soal mendidik anak, saya harus berperanan sebagai ayah dan juga kawan. Saya mahu anak-anak bercerita mengenai siapa mereka suka dan dengan siapa mereka berkawan sekarang.

“Malah saya juga ada berjumpa mereka untuk kenal lebih rapat. Ada ketika saya berbual dengan mereka seolah-olah saya  rakan sebaya mereka di mana dalam hal ini saya lihat anak-anak lebih terbuka untuk bercerita. Bagi saya, ini yang harus ibu bapa lakukan dalam menangani isu anak-ana remaja terutama soal bercinta.

“Untuk berkeras dan menyekat, itu bukan caranya tapi jadikan anak-anak kawan terbaik kita supaya mereka tak rasa kekok untuk berkongsi semuanya,” katanya mengakui mendekatkan diri dengan Allah, jadikan al-Quran sebagai peneman seharian adalah terapi terbaik bagi ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

Pernah berpengalaman mengalami situasi pahit perceraian satu ketika dahulu, Norman Hakim akui dia mula kenal dirinya apabila dia mula mendekati al-Quran yang sebelum itu jauh ditinggalkannya.

“Mula-mula memang merangkak. Tapi saya nekad bangun. Terus mencari termasuk berguru dengan orang-orang hebat. Alhamdulillah, Allah sentiasa tolong kita kalau kita sentiasa mengingati Allah,” katanya yang terpilih antara lima pengacara talk show Mingguan Wanita yang mulai bersiaran 8 Julai lalu setiap Isnin hingga Jumaat di saluran Astro Prima 105  dan Prima HD di saluran 121 jam 11.00 pagi hingga 12 tengahari. Antara rakan selebriti lain yang terlibat ialah pelakon  Elizad Sharifuddin, primadona tanahair Erra Fazira, pengacara terkenal Sherry Al Hadad dan juga DJ popular, Radin dari Radio Era untuk membincangkan topik-topik semasa bagi talk show tersebut.

Inilah lima barisan selebriti terkenal tanahair yang akan mengacarakan program talk show Mingguan Wanita yang bersiaran mulai 8 Julai jam 11 pagi dan Astro Prima 105 dan Prima HD di saluran 121.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros