
Nama Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar kini menjadi sebutan antarabangsa selepas beliau diumumkan sebagai salah seorang daripada 30 individu berpengaruh dalam senarai eksklusif Project Syndicate Forward Thinkers List.
Senarai ini dikeluarkan oleh Project Syndicate, sebuah organisasi media antarabangsa berasaskan non-profit yang terkenal dengan analisis tajam dan ulasan dari pakar global dalam pelbagai bidang.
ARTIKEL BERKAITAN: Marsha Milan Cipta Sejarah Peribadi, Wajah Terpampang Di Times Square, New York. Tahniah!
Pengiktirafan ini diberikan kepada tokoh-tokoh intelektual yang dilihat memberi impak besar dalam dunia akademik, dasar awam, masyarakat sivil serta sektor swasta.
“Individu-individu itu terlibat dalam pelbagai isu penting daripada perubahan iklim dan geopolitik sehingga berkait dengan demokrasi liberal dan masa depan kapitalisme.
“Setiap tokoh merupakan pemimpin dalam bidang masing-masing dan kami percaya pandangan mereka bukan sahaja membentuk wacana di negara sendiri, malah memberi kesan mendalam di peringkat antarabangsa,” kata pihak Project Syndicate dalam satu kenyataan.
BACA: Tun Mahathir Puji Kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Kenang Pertemuan Kali Pertama Di Pasar Raya
Ditubuhkan pada awal 1990-an, organisasi ini cukup dikenali kerana menyediakan platform kepada pemikir dan pakar dari seluruh dunia untuk berkongsi pandangan terhadap isu-isu global melalui artikel dan analisis yang bernas.
Bukan itu sahaja, Nurul Izzah turut sebaris dengan nama-nama besar dalam dunia akademik antarabangsa seperti Profesor Ekonomi Universiti Yale, Marina Halac; Profesor Ekonomi Universiti Harvard, Oleg Itskhoki; serta Profesor Dasar Awam dari Universiti Oxford, Yeling Tan.
Menurut Project Syndicate, pemilihan individu dalam senarai ini dibuat secara teliti oleh pasukan editorial mereka dengan menilai sejauh mana kemampuan seseorang itu dalam menyumbang kepada perdebatan politik dan sosial melalui pemikiran kritikal.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.