“Saya Rindu Sangat Semua Momen Berkaitan Dewi Remaja” -Nynaa Harizal Kini Lebarkan ‘Sayap’ Ke Bidang Kosmetik

Share

Bergelar Top 3 Dewi Remaja 2019 adalah sebuah momen terindah buat figura jelita seorang ini. Nynaa Harizal, mula bertatih dalam dunia seni tempatan sebagai pelakon selepas tamat program realiti tersebut adalah pengalaman ‘mahal’ buat dirinya.

Kenang semula memori sewaktu di Dewi Remaja, pelakon naskhah Kau Cipta Kasih itu akui amat merindukan segala pengalaman pahit dan manis yang dilalui bersama kesemua finalis sehinggalah tamat rancangan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kehadiran Bayi Sulung Pelengkap Keluarga Nynaa Harizal, Fahmi Ilyas

“Saya rindu sangat semua momen berkaitan Dewi Remaja. Sewaktu Dewi, pelbagai perkara yang berlaku. Kita sedih, menangis dan gembira bersama-sama. Kami lalui banyak perkara bersama, walaupun dalam masa yang singkat namun apabila dengan mereka seperti sudah bertahun-tahun dan seperti adik beradik.

“Apabila kita dalam Dewi Remaja, automatik kehidupan kita berbeza dan akan menceburi banyak bidang. Paling penting, pandai menjaga diri dan semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing,” tuturnya kepada Remaja.

Bertanya pula mengenai karier sebagai seorang anak seni, ibu kepada seorang cahaya mata itu mengambil keputusan untuk berehat seketika kerana mahu memberi fokus dan perhatian kepada perniagaannya.

Menzahirkan kerinduan untuk muncul di kaca televisyen selepas hampir dua tahun tidak berlakon, Nynaa tidak menafikan rezeki tawaran berlakon tidak pernah putus. Namun dirinya memaklumkan tidak akan terlibat dalam dunia seni buat masa ini.

“Untuk aktif semula dalam bidang lakonan, pada masa ini belum lagi. InsyaAllah, mungkin lagi dua atau tiga tahun saya comeback

semula dalam industri. Sekarang ini saya akan fokus terhadap perniagaan sahaja dahulu.

“Tidak dinafikan, ada. Ada penerbit yang menawarkan saya berlakon. Namun saya berkata kepada mereka, saya masih berehat lagi. Alhamdulillah, rezeki ditawarkan berlakon tidak pernah putus, cuma saya sahaja yang tidak terlibat dalam industri seni buat masa sekarang ini. Rindu juga sebenarnya,” tuturnya panjang.

Perkembangan terbaharu, Nynaa kini membuka langkah sebagai usahawan dalam bidang kosmetik dan memperkenal produk rawatan bibi intensif pertamanya, Fire & Ice Lip Booster Serum. 

“Lip booster serum adalah sebuah produk yang boleh mungilkan bibir dan memberikan kesan anjal serta-merta. Jadi bila anda apply kurang daripada lima minit, sudah boleh nampak kesan mungil itu.

“Antara sebab saya memilih lip plumper kerana saya sendiri suka memakainya dan harga produk antarabangsa terlalu mahal. Jadi sebab itulah saya mengeluarkan idea ini dengan harga yang berpatutan. Kesannya bukan sahaja dapat membesarkan bibir, malah melembab dan merawat bibir kita,” kongsinya.

Produk keluaran syarikatnya itu juga mengambil masa selama setahun dalam melakukan penyelidikan sebelum berani tampil dengan produk berkenaan.

Sekadar informasi, lip plumper keluaran terbaharunya itu boleh dibeli menerusi www.herbeauty.com.my atau platform media sosial Instagram @myherbeauty atau Tiktok @myherbeauty.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Instagram Nynaa Harizal


Published by
Fath