Dengan sekali lafaz, penyanyi rap terkenal tanah air, MK K-Clique akhirnya telah menamatkan zaman bujangnya apabila sah bergelar suami kepada pilihan hatinya, Siti Hajaar Syeikh Nordin, pada pagi tadi.
Bersaksikan Masjid Jami’il Huda, Kampung Melayu Ampang, penyanyi berasal dari negeri di bawah bayu itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Kariah masjid berkenaan, Mahdi Mat Zain berwalikan bapa pengantin perempuan, Datuk Sri Dr Syeikh Nordin Sheikh Ahmad.
ARTIKEL BERKAITAN: Status Terkini MK K Clique ‘Masih Mencari’, Enggan Tergesa-Gesa Untuk Berumah Tangga
Menerusi laporan Berita Harian, anggota kumpulan rap popular K Clique itu turut memberikan mas kahwin sebanyak RM302 dan seutas gelang tangan manakala wang hantaran dirahsiakan.
Selain itu, majlis pernikahan pasangan dua sejoli tersebut dihadiri 100 tetamu merangkumi keluarga dan kenalan kedua-dua belah pihak.
Terdahulu, spekulasi penyanyi lagu popular Peluang Kedua itu bakal mendirikan rumah tangga mula diperkatakan selepas dia memuat naik foto saiz pasport lengkap memakai songkok dalam media sosial.
Mengukuhkan lagi spekulasi itu, ada yang mendakwa MK sudah bertunang dengan Siti Hajaar selepas foto mereka berpakaian sedondon bersama keluarga dengan gadis itu menunjukkan cincin di jari, tersebar.
Terbaharu, tular video di aplikasi TikTok yang menampakkan penyanyi rap itu menghadiri kursus kahwin.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Official H Live