Berita

Oh Oppa! Warga Emas Rugi RM225,000 Selepas Terjerat Dalam Love Scam Dengan ‘Lee Min-ho’

Share

Seorang warga emas yang juga pesara guru hanya mampu berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM225,000 selepas diperdaya sindiket ‘love scam’ yang menyamar sebagai artis K-Pop iaitu Lee Min-ho.

ARTIKEL BERKAITAN: Ingatkan Jemputan Kenduri Kahwin, Rupanya Taktik Baru ‘Scammer’ Untuk Kebas Duit Anda!

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan mendapati, wanita berusia 74 tahun itu mengenali suspek yang menggunakan identiti bintang Korea Selatan itu pada tahun lalu menerusi Facebook.

Menurutnya, sepanjang mengenali suspek, mereka hanya berhubung melalui ‘messenger’ di dalam aplikasi media sosial tersebut.

“Pada Oktober lalu, suspek mula meminta mangsa memasukkan wang kepadanya dengan alasan dia mempunyai kes perbicaraan di mahkamah.

“Suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa dia memerlukan jumlah wang yang banyak untuk lepas daripada kes tersebut,” katanya.

Mohd. Adli memberitahu, simpati dengan nasib artis K-Pop pujaannya itu, mangsa membuat enam pemindahan wang sebanyak RM225,000 ke dalam satu akaun dalam tempoh dua bulan sehingga bulan ini.

Menurutnya, selepas membuat pemindahan wang itu, wanita tersebut baru menyedari bahawa dia sudah ditipu.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini kelmarin,” katanya.

Tambah Mohd. Adli, polis sedang mengesan sindiket yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

BACA LAGI

: ‘Menang’ Hadiah Cabutan Bertuah iPhone 12 Pro Max, Remaja Kena Scam RM26,200

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Kosmo

 

Published by
Adriana Syaurah