OKU Mental Bangkit, Gadis Ini Berjaya Rangkul Segulung Ijazah Dengan Cemerlang

Share

Bergelar seorang mahasiswa bukan mudah bagi individu menghadapi masalah kesihatan mental, namun Nurul Yusra Afiqah, 22 membuktikan dirinya boleh berjaya dalam apa yang diceburi dan menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN : Adele Dedah Alami Anxiety Akibat Penceraian, Rutin Workout Bantu Kesihatan Mental

Mengakui bukan satu perkara yang mudah dan beliau terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan halangan. Graduan Ijazah Sarjana Psikologi dengan Kepujian (Psikologi Kanak-kanak & Keluarga) yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini juga mengakui amat berbangga dengan dirinya kerana berjaya melakukan yang terbaik sehingga tamat pengajian.

raduan orang kurang upaya (OKU) mental, Nurul Yusra Afiqah Anuar buktikan tiada yang mustahil. – Foto UMS

Hasil semangat tidak pernah luntur, akhirnya dalam tempoh tiga tahun Nurul Yusra berjaya merangkul segulung ijazah dengan memperoleh CGPA 3.53 pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-24, di sini, semalam.

Bercerita mengenai masalah kesihatan yang dihadapi, menurutnya dia mendapat status OKU sejak 2017, dan ketika keadaan kesihatannya teruk dia pernah cuba membunuh diri. Malah, kebanyakan penyakit mental yang dihidapi adalah disebabkan trauma, kebimbangan (anxiety) dan tekanan.

“Memegang status OKU mental, cabaran yang saya sering terima adalah stigma masyarakat yang mengatakan saya tidak kelihatan seperti seorang OKU,” katanya.

Selama tiga tahun bergelar penuntut prasiswazah, Yusra mengakui pernah berasa putus asa, namun beliau akan minta bantuan di saluran yang betul.

Kini Merawat OKU Mental

Menurutnya, dia kini sudah bekerja di Pusat Rehabilitasi OKU Mental USM sebagai pengurus kes.

“Sekarang ini saya sudah bekerja dalam bidang yang saya sendiri merawat OKU mental. Semua pesakit serta pelatih di bawah pemantauan saya juga adalah OKU mental dan saya memahami apa yang dirasakan,” katanya.

Nurul berkata, dia ingin membuktikan kepada pesakitnya yang dia boleh mengatasi masalah dihadapi, sekali gus menjadi dorongan kepada mereka untuk menamatkan pengajian memandangkan majoriti golongan ini tidak berjaya melakukannya.

Tahniah kami ucapkan buat Yusra!

Sumber : (1)

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


Published by
Nana