Gara-gara kesilapan teknikal yang tidak disengajakan, enam orang perenang dari Poland terpaksa dihantar pulang dari Jepun sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020 membuka tirai secara rasminya pada hari Jumaat ini.
Dalam kenyataan rasmi oleh Presiden Persekutuan Renang Poland (PZP), Pawel Slominski telah memohon maaf selepas enam atlet tersebut terpaksa pulang disebabkan oleh kesilapan teknikal pengurusan.
Secara total, Poland telah menghantar seramai 23 perenang ke Jepun. Namun PZP terpaksa mengecilkan jumlah skuad renang itu kepada 17 orang sahaja berdasarkan syarat-syarat kelayakan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).
Beliau turut faham sekiranya enam orang perenang itu merasa marah terhadap situasi yang disesali oleh pihaknya ini.
“Saya menzahirkan rasa kesal dan sedih berikutan situasi berkaitan kelayakan para perenang kami yang telah berada di Tokyo untuk Sukan Olimpik.
“Situasi seperti ini tidak seharusnya terjadi. Dan reaksi balas para perenang, emosi mereka dan serangan yang dilakukan terhadap Persekutuan Renang Poland amatlah kami fahami,” katanya.
Enam atlet yang dimaksudkan itu ialah Alicja Tchorz, Bartosz Piszczorowicz, Aleksandra Polanska, Mateusz Chowaniec, Dominika Kossakowska dan Jan Holub.
Alicja Tchorz yang pernah bertanding di Sukan Olimpik 2012 di London dan 2016 di Rio telah meluahkan rasa marahnya di media sosial menerusi akaun rasmi PZP.
“Bayangkan, kamu sudah korbankan hidup kamu selama lima tahun dan lakukan sebaik mungkin untuk acara sukan terpenting. Kamu korbankan kehidupan peribadi dan pekerjaan, kamu korbankan masa bersama keluarga.. tapi dedikasi kamu itu berakhir dengan kegagalan.”
Tambah seorang lagi perenang iaitu Mateusz Chowaniec di Instagram-nya, “Saya amat terkejut dengan apa yang berlaku ini. Ini adalah situasi yang tidak masuk akal dan tidak seharusnya terjadi . Malah, saya berharap agar saya boleh disedarkan daripada mimpi ngeri ini.”
Melihat video temuramah ringkas bersama Alicja Tchorz di bawah, jelas riak wajahnya yang kecewa dengan perkhabaran ini.
Isu ini telah mendapat perhatian meluas oleh rakyat Poland yang merasa kasihan terhadap enam perenang tersebut. Menurut laporan laman web renang SwimSwam di sana, beberapa perenang Poland telah menandatangani surat terbuka kepada PZP dan meminta agar badan pengurusan Persekutuan itu meletakkan jawatan. Surat tersebut juga telah dimuat naik oleh Alicja Tchorz di akaun Instagram-nya; seperti di bawah: