Gelanggang angkat berat Tokyo 2020 menjadi lokasi istimewa buat negara Filipina setelah atlet wanitanya menuai pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan Filipina di Sukan Olimpik.
Hidilyn Diaz yang juga bertugas sebagai anggota wanita Tentera Udara Filipina mencatatkan angkatan terakhir 127 kilogram bagi mengatasi pemegang rekod dunia dari China, Liao Qiuyun dalam kelas 55 kg wanita.
Kejayaannya ini memberikan kejayaan manis buat Filipina setelah dia puas berkorban selama ini demi memenangi pingat tersebut. Seperti Malaysia, Filipina juga dahagakan pingat emas pertama setelah mereka mulai menyertai kejohanan sukan terbesar dunia ini selama 97 tahun.
Pada edisi Olimpik di Rio pada tahun 2016, Diaz berpuas hati dengan memenangi pingat perak; sekaligus memecahkan kemarau pingat Filipina selama 20 tahun. Siapa sangka, kali ini Diaz kembali membanggakan Filipina pada tahap yang lebih memberangsangkan.
Menariknya, sebelum menuju ke Tokyo, Diaz terlebih dahulu memilih Malaysia sebagai medan latihannya bermula Februari 2020.
Ia demi memastikan konsentrasi atlet ini persiapan fizikal dan mentalnya. Sudah tentu, situasi pandemik yang melanda negara sedikit membantutkan kelancaran latihan Diaz. Sesudah pusat gimnasium di Kuala Lumpur ditutup, latihan terpaksa dijalankan di blok pangsapuri saja.
Malah kongsi Diaz dalam sidang media selepas kemenangannya, dia perlu berhati-hati agar tidak mmecahkan lantai berjubin dengan peralatan angkat berat.
Sesudah 8 bulan di Kuala Lumpur, Diaz beralih lokasi pula ke Kampung Kesang Jaya di Jasin, Melaka yang dimiliki oleh seorang pegawai persatuan angkat berat Malaysia.
Akibat sekatan pergerakan yang kembali dilaksanakan di Malaysia, Diaz akur menggunakan parkir kenderaan di sebuah rumah sebagai pusat latihan.
“Walaupun saya tidak berlatih di kampung halaman, saya mempunyai ramai kawan Filipino di Malaysia yang suda ibarat keluarga saya di sana. I feel at home in Malaysia. Saya amat menghargai mereka.
“Kepada mereka yang membantu kami di Melaka, terutamanya ketika saya berdepan tekanan dan tidak mempunyai tempat latihan, kalian tetap menyediakan gym untuk saya dalam masa singkat. Saya juga bersyukur dalam melatih kanak-kanak di sana.
“Tentunya, saya akan pulang ke Melaka untuk terus berlatih dan kekalkan prestasi saya. Dalam sukan, kita tidak boleh mudah berpuas hati selepas menang.”
“Saya masih perlu berkerja keras untuk latihan seterusnya. Melaka bagi saya adalah lokasi terbaik untuk saya kekal fokus berlatih sewaktu pandemik ini,” ulas Diaz semalam.
Lihatlah bagaimana pengorbanan boleh membuahkan keputusan hebat, guys. Orang kata, ‘hustle demi hasil’. Filipina sudah memiliki pingat emas idaman mereka, mampukah Malaysia melakukannya pada Tokyo 2020?