OMG Kylie Jenner Akhirnya Tunjukkan Baby Bump. Tetapi Kenapa Dia Mempunyai Risiko Bersalin?

Share

Bagaimana kita semua boleh terlepas memandang foto Kylie Jenner?!

Sekeping foto yang menampilkan Kylie dengan baby bump-nya dipercayai telah diambil pada bulan September lalu semasa dia menganjurkan sambutan hari lahir BFF, Jordyn Woods. Dalam persalinan jaket longgar dan leggings, ia jelas menampakkan Kylie sedang memegang perutnya.

Sumber X17 reports melaporkan pada waktu tersebut, Kylie sangat fokus kepada hubungannya dengan teman lelaki, Travis Scott.

Jika diamati dengan dekat, perut Kylie memang sudah kelihatan besar walaupun foto itu telah diambil 4 bulan yang lalu dan pastinya, dia akan melalui fasa bersalin pada bila-bila masa saja dari sekarang!

Namun, pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G) tampil memperjelaskan, remaja seperti Kylie mungkin mempunyai risiko bersalin dan meneran keluar bayi pada usia muda.

Sakit bersalin adalah kiraan detik hidup atau mati. Kata orang tua-tua, sakit bersalin ini lebih sakit dari rasa ketika nyawa hendak dicabut malaikat maut. Waallahualam. Hanya ibu yang pernah melaluinya akan faham kesakitan tersebut.

Ada yang bersalin dengan mudah sementara ada juga melalui proses kesakitan yang sangat panjang hingga memerlukan dibedah.

Rasa sakit ini dapat dilihat kepada ketahanan mental dan fizikal seseorang itu dan jujurnya, jika korang memilih untuk mengandung pada usia belasan tahun, ada risiko yang perlu difahami.

Baca perkongsian Pakar O&G, Dr Noorashikin Maan dari KPJ Ipoh Specialist Hospital mengenai isu bersalin pada usia remaja.

Menurut Dr Noorsahikin Maan, seorang perempuan boleh hamil sebaik sahaja mula datang haid kerana itu adalah tanda seorang perempuan itu mula subur. Remaja perempuan sekitar umur 9 hingga 16 tahun pun ada kemungkinan boleh hamil jika didapati terlibat dalam hubungan intim.

Namun, kehamilan remaja dikategorikan sebagai kehamilan berisiko tinggi jika kita lihat dari tiga aspek berbeza iaitu:

1. Kesan perubatan
2. Kesan Psikologi
3. Kesan sosial

Kesan perubatan

Remaja perempuan hamil yang sedang dalam fasa pembesaran biasanya akan mengalami proses bersalin yang sukar. Tulang pinggul yang kecil akan menyukarkan proses bersalin dan kerap kali akan berakhir dengan proses bersalin secara pembedahan.

Kesakitan yang dialami bukan sahaja semasa proses bersalin itu berlaku tetapi akan berlarutan selepas bersalindan ini pastinya akan menyebabkan trauma kepada remaja tersebut kerana mereka tidak bersedia dari segi mental.

Kehamilan anak pertama pada usia yang terlalu muda juga mengundang komplikasi tekanan darah tinggi.

Jika remaja tersebut tidak datang membuat pemeriksaan antenatal yang teratur kerana malu atau takut, doktor boleh terlepas pandang akan komplikasi ini dan sekiranya ia tidak dikenal pasti dengan lebih awal, ia boleh menyebabkan komplikasi pendarahan dalam otak, sawan dan mungkin juga boleh membawa maut pada ibu muda tersebut.

Bayi yang dilahirkan juga biasanya akan lebih kecil dan mempunyai berat lahir yang rendah. Ini mungkin disebabkan ibu tersebut terpaksa bersalin awal atas sebab-sebab komplikasi kesihatan yang dialami.

Kesan psikologi

Kesan psikologi adalah berbahaya terutama terhadap kesihatan mental remaja yang hamil. Ini biasanya akan berlarutan dengan lama dan juga boleh melibatkan kehilangan nyawa jika tidak dirujuk kepada pakar yang boleh membantu.

Pada peringkat awal, mungkin remaja yang hamil boleh hilang keyakinan diri, mengalami tekanan emosi yang berat serta mengalami keresahan. Tanpa bantuan ahli keluarga dan kenalan rapat, ia boleh berakhir dengan kemurungan teruk.

Kesan sosial

Kesan sosial biasanya melibatkan keluarga dan masyarakat sekeliling yang mengenali remaja hamil itu. Lazimnya, remaja yang hamil berpunca daripada hubungan seks sebelum kahwin, sumbang mahram, rogol dan penderaan seksual. Sudah pasti mereka akan dipandang serong oleh masyarakat.

Ini hanya akan menimbulkan masalah komunikasi dengan ahli keluarga dan rakan sebaya. Peluang meneruskan persekolahan dan pendidikan mereka juga akan terjejas. Ini seterusnya boleh menjejaskan peluang pekerjaan pada masa akan datang.

Sebab itulah, ramai remaja yang mengambil jalan pintas dengan melakukan pengguguran dan pembuangan bayi seperti yang banyak dilaporkan oleh media. Proses pengguguran yang tidak selamat adalah berbahaya dan boleh mendedahkan remaja kepada jangkitan kuman pada sistem reproduksi mereka dan untuk jangka masa panjang, boleh menyebabkan kemandulan.

Jika korang mengenali mana-mana remaja perempuan yang hamil, nasihati mereka untuk mendapatkan pemeriksaan semasa mengandung yang teratur dari klinik-klinik kesihatan.

Pemeriksaan awal sangat penting untuk mengawasi kesihatan ibu dan bayi. Selain itu, jika belum berkahwin, dapatkan bantuan daripada ibu bapa, guru, kaunselor dan pegawai kebajikan masyarakat. Jangan bahayakan diri dengan menyembunyikan kehamilan atau melakukan pengguguran secara haram.

So girls, fahami betul-betul risiko ini sebelum memilih untuk menyerahkan maruah atau berkahwin pada usia muda kerana hasil kajian mendapati ramai yang belum sedia memikul tanggungjawab besar ini.

Published by
Almaswa Haji Che Ros