Lepas ini, korang mungkin tak boleh lepak di warung mamak lagi untuk menonton perlawanan bola sepak lewat malam.
Kerajaan menerusi kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ingin menggubal polisi melarang remaja berusia bawah 18 tahun daripada berada di luar rumah selepas jam tertentu pada waktu malam tanpa penjaga.
Hal ini telah dipersetuju oleh komiti kabinet kerana rekod menunjukkan peratusan remaja yang terpalit dengan isu menghidu gam kebelakangan ini berada pada tahap membimbangkan.
“Kami sedang mempertimbangkan polisi sama yang telah dipraktik di negara asing seperti Iceland.
“Ia mungkin tidak mudah untuk dikenakan, namun kami merasa ia wajar dan sekurang-kurangnya boleh menghalang remaja daripada terlibat dalam sebarang aktiviti negatif,” tambah beliau.
Di Iceland, kanak-kanak bawah 12 tahun tak dibenarkan berada di luar melebihi jam 8 malam kecuali jika ditemani penjaga.
Remaja antara usia 13 – 16 tahun pula tak dibenarkan melebihi jam 10 malam kecuali mereka sedang dalam perjalan pulang ke rumah daripada aktiviti yang dianjurkan oleh sekolah.
Sesiapa yang melanggar peraturan boleh dibawa terus ke balai polis dan ibu bapa perlu mengambil mereka ke sana.
“Polisi ini masih pada peringkat perbincangan. Kami belum menetapkan hukuman. Apa yang penting sekarang adalah untuk menghalang ketagihan hidu gam dan mengambil dadah.
Apa pendapat korang? Rasa macam kebebasan ditarik ataupun korang setuju?
Bagi kami di REMAJA, polisi ini mempunyai pro dan kontranya.
Mungkin niat yang ada di kalangan ibu bapa dan penjaga baik kerana mereka gentar anak remaja mereka mendekati kehidupan sosial seperti ke kelab dan mengambil dadah. Tetapi pada masa yang sama, kebebasan remaja untuk melakukan lebih baik aktiviti sosial yang berfaedah pada lewat malam seakan ditarik secara serta-merta.
Bagaimana nasib remaja yang ingin bermain futsal dan badminton pada waktu malam terutamanya pada hujung minggu. Bagaimana dengan remaja yang terpaksa keluar malam untuk sesuatu hal kecemasan. Bagaimana dengan remaja yang perlu ke pusat tusyen dan hanya pulang selepas jam 10 malam.
Mungkin polisi ini perlu digubal secara teliti dan terperinci, kemudian barulah dikhabarkan kepada remaja di Malaysia. Barulah tiada salah faham yang berlaku sehingga menyebabkan remaja meroyan.