Minat menonton drama Korea selain dipaksa oleh pensyarah membolehkan Izzat Zuhailee Abd Hamid, 22 tahun dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan Korean Speech Contest 2020.
Jelas pelajar tahun akhir jurusan Biokimia, Sastera & Bahasa Korea di University of California, Berkeley itu, dia sama sekali tidak terfikir kebolehannya menguasai bakasa Korea akan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Peryertaan dalam Korean Speech Contest 2020 anjuran Pusat Kebudayaan Korea, Los Angeles dan King Sejong Institute itu menyaksikan Izzat menewaskan 200 orang peserta dari seluruh Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Menariknya, penyertaan Izzat datang secara tidak sengaja demi menyahut cabaran pensyarah.
“Selalunya, saya rakam video tentang kemahiran saya berbahasa Korea ini dan muat naik di Twitter sekadar suka-suka untuk hiburan saja.
“Apabila seorang profesor kelahiran Korea saya mencadangkan penuntutnya menyertai pertandingan ini, saya cubalah nasib menghantar penyertaan pada September lalu.
Stik lampu peminat K-Pop jadi topik
“Setiap peserta perlu mempersembahkan ucapan mengenai budaya orang Korea dalam tempoh tiga minit melalui rakaman video dan video itu akan dinilai oleh juri.
“Saya mendapat ilham untuk video saya menerusi program televisyen popular Korea, Produce 101. Saya olah program Produce 101 kepada Present 101 dengan dibantu oleh props seperti televisyen, stik lampu, komputer riba dan iPad.
“Dalam tempoh tiga minit sjaa, saya buat penerangan dengan gaya pembaca berita tentang penggunaan stik lampu dalam kalangan peminat K-Pop.
운이 좋아서 1등상을 탔어요ㅠㅠㅠㅠ pic.twitter.com/fWrQCcmw0V
— Izzu (@izzuhailee) October 17, 2020
“Alhamdulillah, saya diumumkan sebagai pemenang pada 16 Oktober lalu. Rasa tidak percaya kerana persaingan sengit daripada 200 peserta,” katanya.
Anak kelahiran Ampang Selangor itu juga berkata, kebolehan bertutur dengan baik dalam bahasa Korea didorong kerana minat dan latihan berterusan setiap hari selama lebih dua tahun dalam pengajiannya.
“Sejak di bangku sekolah lagi (di Kolej GENIUS@Pintar), saya minat menonton drama dan mendengar lagu Korea.
“Kebetulan ada tawaran program bahasa, sejarah dan sastera di universiti ini; dan saya telah mengambil kelas Korea secara formal sampai sekarang. Cara syaa belajar mudah saja, saya baca artikel berbahasa Korea, cuba meniru gaya pembaca berita mereka.
“Malah kalau tengok rancangan Korea pun, saya akan cuba lakon semula apa yang mereka cakap,” katanya.
TV3 TAYANG NI DEKAT TV TADI OMG I MADE IT PEOPLE 😂😂😂pic.twitter.com/Qq7TIeh82X
— Izzu (@izzuhailee) October 23, 2020
Izzat bakal pulang ke tanah air tahun hadapan dan dia percaya, jika ada kesungguhan dalam melakukan sesuatu yang diminati, kita akan berjaya.
“Kalau ada minat mendalam untuk belajar sesuatu, kita kena kejar betul-betul. Bila rasa penat berhenti seketika dan teruskan kembali.
“Dulu ramai orang menyindir komuniti yang belajar bahasa Korea ini sekadar buang masa saja. Tetapi melalui pengiktirafan ini saya telah membuktikan ia berbaloi jika kita melakukannya dengan betul.”