“Orang Seni Mudah Isi Hati Kosong Dengan Benda Yang Merosakkan” – Erma Fatima Nasihati Selebriti Muda

Share

Kelmarin, REMAJA telah berkongsi menerusi kolum Trending berkenaan enam orang selebriti yang mati akibat kes bunuh diri. TIGA daripada mereka terlibat dalam kes tersebut pada tahun ini.

Lalu kami bertanyakan sesama sendiri, golongan selebriti ni memang selalu berdepan dengan tekanan melampau ke sehingga sanggup meragut nyawa? Atau sehingga sanggup menayangkan video untuk menagih perhatian?

REMAJA tertarik dengan perkongsian oleh pengarah dan pelakon, kak Erma Fatima di akaun Instagramnya hari ini. Dalam caption-nya yang merujuk kepada artikel REMAJA kelmarin, jelas kak Erma sedikit terkesan dengan apa yang sedang berlaku dalam dunia hari ni, terutamanya di kalangan selebriti. Ia berbunyi:

 

“Orang Seni ni halus jiwanya…mudah tersentuh..mudah juga rosak jiwanya…Orang seni juga mudah absorb. Bukan saja karakter yang dilakonkan tapi juga persekitaran. Orang seni juga paling mudah terdedah pada musuh utama iaitu RIAK dan SOMBONG. Kerana POPULARITI mampu merubah kita.”

 

Di saat ‘zaman kegemilangan’ seseorang itu memuncak, sebagai manusia biasa, memang mudah untuk sesiapa pun mendongak terlalu tinggi.

Penulis bukan je merujuk kepada selebriti di sini, tetapi juga kepada belia seperti kita. Bila kena ‘cucuk’ sikit dengan pujian oleh ‘kawan baru’, kawan sebenar yang dah dikenali selama bertahun-tahun mudah dilupakan. Walaupun kawan itulah yang tak putus-putus menguntum nasihat dan doa.

 

“Orang seni itu sepi…jiwanya terisi hanya di lokasi. Kerana di lokasi itu mereka dikelilingi dengan jiwa-jiwa seni lain yang berperang untuk hidup. Setelah mereka pulang..mereka akan bertemu lagi dengan kesepian dan kekosongan.

Dan kerana hatinya rapuh maka kesepian dan kekosongan itu mudah terisi dengan sesuatu yang disangka mampu mengisi kesepiannya itu tanpa mengetahui yang SESUATU itulah yang akan MEROSAKAN jiwanya.

Akhirnya dia akan berperang dengan EMOSI yang telah dirosakkan oleh sesuatu itu. Ketika itu..dia akan menjadi KELIRU. Kehalusan jiwanya makin RAPUH. KERANA itu orang seni kena berdamping dengan IMAN sebelum NAFSU menguasai IMAN.”

 

Mudah untuk kita ‘taksub’ dengan kehidupan seharian kita. Jika yang nak kejarkan kecemerlangan dalam peperiksaan, kita lupakan segala kewajipan lain bahkan kewajipan kepadaNya demi mentelaah.

Jika sampai waktu untuk kita mencari duit, segalanya dicurahkan untuk mengejar harta walaupun kewajipan lain kepada ibu bapa dan keluarga terabai begitu je.

Seperti yang kak Erma ceritakan, setelah pulang ke rumah dan bersendirian, manusia itu masih tak tahu nak duduk diam dan nak ‘mengejar sesuatu’. Kalau tak, jiwa terasa kosong.

Pada waktu ‘kekosongan’ itulah manusia mudah melupakan bantuan Yang Esa demi. Sebaliknya, dia terarah kepada untuk mengisi kekosongan dengan cara duniawi – jalan mudah.

 

“Dari mana IMAN itu? Carilah pada RUKUN IMAN. Hanya IMAN mampu menjadi DOKTOR yang merawat JIWA-JIWA kita yang halus dan rapuh ini. BUKAN clubbing, BUKAN alkohol, BUKAN dadah, BUKAN ilmu yang lebih mengelirukan, BUKAN juga kawan-kawan.

“ORANG SENI pilihan dari ALLAH. Hargailah bakat yang dikurniakan pada kita kerana ada berjuta manusia yang ingin jadi seperti kita. JANGAN ROSAKKAN KURNIAAN itu hanya kerana kita lupa mendampingi IMAN.”

#hati aku tergerak untuk menulis ini bila artikel ini menganggu emosiku dari malam tadi.

Semoga ALLAH melindungi semua sahabat seni aku dari kerapuhan itu. AMIN

 

Mesej yang disampaikan kak Erma ini cukup jelas. Dia mungkin lebih mengerti yang berlaku di dalam dunia hiburan. Dia mungkin lebih mengetahui apa yang berlaku kepada sebahagian daripada rakan-rakan seninya

Manusia memang mudah untuk hilang pertimbangan. Manusia juga mudah untuk putar belitkan kehidupan sendiri sehingga mereka sendiri lupa hala laluan hidup mereka yang asal.

Alangkah baik jika kita semua memegang prinsip untuk kembali kepada Yang Esa. Ketika susah, ketika senang. Ketika kita diuji dengan musibah malah ketika kita diuji dengan nikmat sekalipun. Guys, selalu ingat, Tuhan sentiasa ada bersama kita. Ambil peluang dan dekatiNya.

Published by
FZ