Selama 13 tahun dia diletakkan di bawah kawalan ayahnya menerusi arahan conservatorship oleh mahkamah. Berikutan itu segala tindak tanduknya serta dengan siapa dia bergaul sehinggalah kawalan kewanganya perlu mendapat kelulusan ayahnya, Jamie Spears, selaku conservator yang dilantik mahkamah.
Kelmarin, dalam satu prosiding mahkamah bintang terkenal yang mula mengegarkan dunia hiburan antarabangsa menerusi lagu Baby One More Time itu telah meluahkan perasaannya tentang apa yang dilalui sepanjang 13 tahun berada di bawah telunjuk ayahnya. Dalam pendengaran itu, ayahnya tidak hadir secara fizikal namun menyertainya secara virtual sambil ditemani peguam.
“Saya telah menipu dan memberitahu seluruh dunia yang saya baik-baik sahaja dan gembira. Semuanya penipuan semata-mata. Saya hidup dalam kepura-puraan, terkejut, trauma dan memalsukan perasaan seolah-olah semuanya sempurna. Sekarang saya menyatakan kebenaran dan saya tidak gembira. Saya tidak boleh tidur, tertekan dan saya menangis setiap hari.
.
“Saya berhak mendapat privasi, kini saya merasakan yang saya tidak boleh hidup dengan tenang. Mereka membuat saya merasa seperti saya tinggal di dalam program pemulihan. Saya akui saya memang memerlukan sedikit terapi, namun saya ingin maju secara progresif. Ketika ini ada alat pencegah kehamilan di dalam badan dan ayah saya tidak membenarkan saya berjumpa doktor untuk membuangnya.
“Saya mahu berkahwin dan mempunyai anak lagi. Conservatorship ini memberi saya lebih banyak keburukan dari kebaikan. Saya berhak mendapat kehidupan! Saya telah bekerja sepanjang hidup saya. Saya merasa diganggu dan saya merasa dibuli dan merasa ketinggalan dan bersendirian. Saya bosan merasa sendirian,” kongsinya kepada hakim.
.
Ramai rakan artis yang menunjukan soladiriti mereka kepada Britney seperti Mariah Carey dan Brandy. Namun dalam kekecohan ini, mesej bekas teman lelakinya Justin Timberlake menarik perhatian ramai.
.
Dalam satu ciapan di akaun Twitternya, ahli kumpulan NSYNC ini berkata, “Tiada wanita di dunia harus dikawal dan disekat dari membuat keputusan sendiri apatah lagi berkaitan badannya. Tiada manusia berhak dikawal tanpa kerelaan mereka atau pun perlu meminta kebenaran untuk memiliki akses terhadap hasil kerja keras mereka selama ini. Jessica dan saya mengirimkan rasa kasih kami dan juga sokongan tidak berbelah bahagi kepada Britney. Kami berharap agar mahkamah dan keluarganya memperbetulkan keadaan dan biar Britney hidup sebagaimana yang dia mahukan.”
Pergerakan #freebritney telah tular sejak awal tahun ini apabila peminat setianya dapat merasakan yang Britney sebenarnya tidak berada di dalam keadaan yang baik. Bahkan ramai yang cuba menterjemahkan setiap mesej yang diberikan diva pop tersebut di laman Instagramnya.
Sumber: People & The Hollywood Reporter