Nama bekas anggota kumpulanEXO, Kris Wu menjadi topik perbualan paling hangat di platform media sosial sejak tengah malam tadi setelah dia dituduh pernah merogol gadis di bawah umur serta bertindak memanipulasi pemikiran mereka dan bertindak kasar terhadap mereka.
Sebelum ini, pernah timbul ura-ura mengaitkan Kris atau nama sebenarnya Wu Yi Fan, 30 dengan beberapa pertuduhan salah laku termasuklah tindakan seksual membabitkan beberapa mangsa perempuan.
Namun setelah seketika waktu, pertuduhan tersebut tidak lagi diperbualkan orang ramai dan ia dibiarkan berlalu begitu saja; sehinggalah seorang pelajar perempuan bernama Du Meizhu muncul membongkarkan kisahnya pada 8 Julai lalu.
Menurut Meizhu yang baru berusia 19 tahun, lebih 30 orang remaja perempuan termasuklah dirinya mula memberanikan diri menuntut agar tindakan tegas dikenakan terhadap penyanyi berdarah Cina-Kanada itu.
Kris didakwa menggoda gadis di bawah umur dan membenarkan mereka mabuk demi melakukan seks. Bukan setakat itu, Meizhu berkata salah seorang mangsa pernah mengambil keputusan menggugurkan kandungan setelah mengetahui Kris (dikatakan) mempunyai penyakit STD (Sexually Transmitted Disease).
Meizhu juga berdepan cabaran dari segi kesihatan mentalnya setelah membongkarkan isu ini. Dia menjadi mangsa buli siber oleh peminat Kris di media sosial yang terang-terangan masih mempertahankan selebriti idola mereka itu.
Setelah pembongkaran Meizhu pada 8 Julai lalu, pasukan Kris berkata akan mengambil tindakan undang-undang fitnah (defamation) terhadap gadis itu. Namun kata Meizhu, dia masih belum menerima surat saman hingga ke hari ini.
Sebaliknya, pasukan Kris dikatakan cuba menutup isu ini dengan menghulurkan wang sebanyak 500,000 yuan (kira-kira RM325,380) di bawah nama Wu Stacy Yu (ibu Kris) dan Wu Yi Fan (nama Cina Kris). Wang yang dialihkan ke akaun Meizhu ini telahpun dipulangkan semula.
Wow, ini satu pertuduhan yang berat dijatuhkan kepada seorang selebriti sepopular Kris Wu.
Semalam, Meizhu kembali mengaitkan Kris dengan pertuduhan seksual dalam temuramah bersama NetEase Entertainment. Buat masa ini, pihak Kris belum mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan pertuduhan dalam temuramah terbaru ini.
*
Setelah isu ini berleluasa di media sosial, Kris mula merasai bahang impaknya.
Jenama produk penjagaan kulit wajah dari Shanghai, KANS telah menamatkan kontrak dengan Kris semalam. Kenyataan rasmi KANS itu dimuat naik sekitar jam 7 petang semalam menerusi akaun Weibo mereka. Satu lagi jenama, Liby turut mengambil tindakan yang sama pada pagi ini dengan menamatkan kontrak dengan Kris.
Tinjauan di halaman digital jenama seperti Lancome, Kiehl’s, Bestore (jenama snek dari Wuhan) , Porsche, Master Kong Ice Tea, Vatti dan Kind of Glory yang diwakili oleh Kris juga dilihat ‘memadamkan’ atau ‘menyembunyikan’ sebarang kandungan yang mengaitkan jenama masing-masing dengan Kris.
Untuk pengetahuan, walaupun Kris Wu kini tidak lagi bersama kumpulan EXO, dia merupakan salah seorang selebriti Asia yang paling digemari jenama-jenama besar global. Ini temasuklah jenama Louis Vuitton, Bvlgari, Porsche, L’Oreal dan banyak lagi.
ARTIKEL BERKAITAN : Kris Wu Lebarkan Karier Bersama Universal Music Group – REMAJA
BACA LAGI : 10 Selebriti Korea Berasal Daripada Keluarga Kaya – REMAJA