Padah ‘Kantoi’ Membuli Di Sekolah 10 Tahun Lepas, Atlet Kembar Korea Dibuang Pasukan

Share

 

Jangan ingat kita boleh terlepas daripada kesalahan masa lampau ya!

 

Pasangan atlet kembar dalam pasukan bola tampar nasional Korea Selatan telah terpalit dalam satu kontroversi disebabkan oleh perbuatan mereka 10 tahun lalu dan ia telah menarik perhatian media antarabangsa. Implikasinya, mereka berdua telah sekaligus dibuang daripada pasukan nasional dan kelab!

Okay, kita recap kembali apa sebenarnya yang berlaku sehingga mereka dikenakan tindakan serius itu.

Lee Jae-yeong dan Lee Da-yeong, 24 merupakan di antara atlet wanita Korea Selatan yang selama ini menunjukkan prestasi yang membanggakan. Malah Jae-young dan Da-yeong juga adalah sebahagian daripada skuad yang membantu Korea Selatan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2021

Namun di sebalik kejayaan itu, mereka berdua pernah melakukan kesalahan membuli pelajar lain semasa masih di sekolah menengah.

Dalam satu posting yang telah dipadamkan oleh mangsa, dia menulis, “Seramai empat orang mangsa menulis catatan ini, tapi masih ada lagi (mangsa lain). Kami enggan memberitahu usia kami. Kami menulis ini tanpa ingin identiti kami dibongkarkan.

“Kami hanya ingin ‘move on’ daripada apa yang berlaku 10 tahun lepas. Tapi bila kami melihat muat naik oleh pelaku yang tidak mencerminkan perbuatan lampau mereka, kami terus diingatkan kembali kepada memori lampau. Kami menulis ini dengan harapan mereka boleh mencerminkan perbuatan tersebut.”

Dakwaan itu sampai ke pengetahuan Jae-yeong dan Da-yeong.

Menariknya, mereka mengaku bersalah atas kesemua dakwaan tersebut.

Lee Da-yeong semasa mewakili Korea Selatan menentang Kenya pada tahun 2019..

Da-yeong mengambil inisiatif untuk menulis di akaun Instagram-nya dan berkata dirinya mengesali trauma yang telah dihadapi oleh mangsa buli mereka.

“Saya benar-benar memohon maaf kerana pernah bertutur dan berperangai buruk sehingga mengakibatkan trauma memori kepada rakan sepasukan semasa saya berusia belasan tahun.”

Sementara itu, Jae-yeong juga mengambil tindakan yang sama di akaun Instagram-nya dan berkata, “Saya secara serius memohon maaf di atas mereka yang terkesan dengan kata-kata serta tindakan saya semasa saya masih remaja. Saya tidak akan pernah melupakan kata-kata dan tindakan itu. Dari sini, saya akan menjadi seorang yang lebih matang.”

Lee Jae-yeong semasa bertanding di Rio de Janeiro pada tahun 2016..

Biarpun pasangan kembar ini telah memohon maaf secara terbuka, mereka masih berdepan kritikan masyarakat. Lebih 120,000 orang telah menandatangani petisyen kepada kediaman rasmi Presiden Korea Selatan demi meminta siasatan lanjut.

Justeru pada Isnin lalu, Persatuan Bola Tampar Korea mengeluarkan kenyataan rasmi dan mengesahkan bahawa pasangan kembar ini telah diketepikan daripada pasukan kebangsaan Olimpik.

“Jika kami tidak mengambil tindakan tegas ini, akan ada kes buli yang sama berlaku di sekolah. Lalu, kami mengambil keputusan mengenepikan mereka daripada bermain untuk liga kebangsaan bola tampar 2021, Sukan Olimpik Tokyo dan pemilihan pemain kebangsaan untuk kesemua pertandingan antarabangsa.

“Kes buli di sekolah adalah sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi dan tidak boleh diambil mudah. Kami juga ingin memohon maaf kepada mangsa buli di atas kesalahan pemain kami.”

Jangan ingat kita boleh terlepas daripada kesalahan masa lampau ya!

Sumber (1)

ARTIKEL BERKAITANKetua Tak Sentiasa Betul, Kes Buli Wujud Dalam Grup Kpop ‘AOA’ Selama 10 Tahun! – REMAJA

BACA LAGI“Jangan Datang Ke Pengebumian Saya..” – Mina AOA Kembali ‘Down’ Dengan Kes Buli – REMAJA

Published by
FZ