Setelah video yang menunjukkan aksi dua orang YouTuber tempatan ‘menampar’ orang awam secara rawak di eskalator sebuah pusat membeli-belah teruk dikecam oleh warganet sejak hujung minggu lalu, akhirnya tindakan keras bakal menanti mereka.
Video yang dimuat naik ke saluran YouTube seorang pencipta kandungan, Mizan Majid pada 7 Oktober lalu itu berdurasi 8 minit. Ia mempamerkan Mizan dan seorang rakan yang dikenali sebagai Man cuba melakukan kandungan berbentuk ‘prank’ yang pernah tular di luar negara; di mana mereka acah-acah ingin menampar orang awam atau menyergah mereka yang sedang menaiki atau menuruni eskalator bersebelahan.
Ia demi melihat reaksi ‘mangsa’ terhadap perbuatan mereka itu. Ada yang bertindak tidak melayan. Tapi, tidak semua orang membiarkan saja perbuatan mereka. Ada yang menjerit semula, “Apa benda?!” atau, “Apa hal?!” kepada mereka.
Tidak kurang juga ada mangsa perempuan yang ketakutan apabila Mizan yang berdiri di sisi eskalator merapatkan dirinya ke arah mereka. Sebelum sempat untuk Mizan mengejar demi memohon maaf, mereka terlebih dahulu telah melarikan diri.
BACA LAGI : Gian Sangat Nak Prank Orang, YouTuber Terkenal Hampir Dipenjara – REMAJA
Biarpun tindakan ini hanya dianggap sekadar gurauan oleh Mizan dan Man; malah dianggap mereka sebagai hiburan subscribers , ia tidak dipersetujui oleh warganet.
Bukan saja mereka tidak bersikap sensitif terhadap situasi di Lembah Klang kini di mana masyarakat berdepan risiko jangkitan COVID-19 lalu perlu menjauhi sebarang kontak fizikal dengan orang yang tidak dikenali. Warganet juga menganggap perbuatan menganggu ketenteraman orang awam itu tidak kena dengan budaya masyarakat di Malaysia.
“Niat, asalnya memang nak hiburkan orang. Tapi kalau korang ambil benda ini serius.. (prank sebegini) tak (diminati) dalam Malaysia.. memang tak bagus dalam Malaysia, jadi Mizan tak akan buat lagi lah. Tapi ‘prank’ still buat, akan ada prank lain..”
– Mizan Majid –
Untuk pengetahuan, video prank berkenaan telah diletakkan dalam mod private dan orang ramai tidak lagi boleh menontonnya sekarang di saluran YouTube Mizan Majid.
Biarpun Mizan telah memuat naik dua video susulan permohonan maaf bersama Man pada 11 Oktober lalu diikuti pada 15 Oktober 2021 atas perbuatan mereka serta berjanji untuk tidak lagi memuat naik kandungan sama, tindakan mereka itu nampaknya telah mencecah perhatian pihak polis!
Dalam laporan hari ini, polis mengesahkan sedang mengesan mereka yang terlibat dalam pembikinan video tular itu. Kata Ketua Polis Daerah Brickfield iaitu Asisten Komisioner Anuar Omar, pihaknya mengesan video tersebut pada 6.30 petang Jumaat lalu menerusi sebuah akaun Facebook.
Sehubungan itu, beliau memohon mana-mana saksi atau individu terlibat untuk tampil membantu siasatan. Sekiranya didapati ada pelanggaran yang menyalahi undang-undang, maka tindakan boleh dikenakan.
Aduhh. Itulah guys, dah banyak kali REMAJA ulang kongsi nasihat yang sama. Walaupun hati berkobar-kobar ingin mengejar populariti, jumlah tontonan dan bertujuan menghiburkan orang ramai menerusi kandungan tular, ketahuilah adab dalam berkarya dan berlaku bijaklah semasa merancang kandungan.
ARTIKEL BERKAITAN : Jadilah ‘Influencer’ Yang Bertanggungjawab, Bukan Sekadar Pengulas Iklan Berbayar – REMAJA
BACA LAGI : ‘Content Creator’ Luar Biasa, Buat Kebajikan Tiap Kali Subscriber Bertambah Antaranya Bina Masjid – REMAJA