Pag Pag, Kisah Makanan Sisa Buangan Buat Si Miskin Setinggan Di Filipina.

Share

Kehidupan ini mengajar kita untuk lebih bersyukur, sentiasa melihat dan memerhati apa yang berlaku di sekeliling. Bersyukur kerana hari ini kita mampu lagi menjamah nasi sebagai bekalan tenaga dikala lapar. Bersyukur kerana yang kurang berkemampuan mendapat perhatian mereka yang cakna.

Namun ada mereka di bahagian dunia yang lain kurang bernasib baik sehingga perlu menjadikan sisa makanan yang dibuang sebagai penyambung nyawa memberi tenaga kepada tulang empat kerat. Ya, ini bukanlah kisah yang sengaja diperbesarkan, namun tahukah anda ada juadah di negara tetangga kita yang digelar Pag Pag.

Pag Pag ini merupakan sisa makanan terutama sekali ayam yang sudah dibuang oleh restoran-restoran makanan segera kemudiannya diambil oleh orang miskin di Filipina dan diolah semula mengikut kreativiti masing-masing. Ada yang menjadikan juadah goreng dan ada yang menjadikannya juadah berkuah.

Sumber foto: via food.detik.com

Namun proses memasaknya bukanlah mudah. Setelah sisa diasingkan dari plastik sampah, lebihan cebisan isi yang masih ada akan dibasuh semula dengan air sehingga jernih dan direbus berjam-jam lamanya bagi menghilangkan kuman. Kemudian setelah direbus kebiasaannya Pag Pag akan digoreng dan diolah sesuai cita rasa. Jangan terkejut kalau juadah ini dijual di kedai-kedai makan di kawasan penduduk miskin tegar.

Dalam satu temubual oleh laman YouTube, Asian Boss, Mama Rosita yang merupakan penjual Pag Pag menjelaskan, “Saya susah mula menjual dan memasak Pag Pag sejak 6 tahun lalu. Sepinggan hidangan ini dijual kira-kira 80 sen sahaja dan pendapatan harian saya lebih kurang RM18 ke RM24 ringgit sehari.”

Sumber gambar: via food.detik.com

Sebenarnya banyak kerisauan tentang amalan pemakanan Pag Pag kerana ia mampu memnajdi faktor penyakit kerana sumber yang tidak bersih terutama sekali kepada anak-anak kecil. Namun alah bisa tegal biasa, kemiskinan menjadikan mereka terus dengan makanan ini lantaran harganya yang amat murah. Untuk mendapatkan ayam segar mungkin harganya jauh lebih mahal dari menikmati Pag Pag.

****P/S – Insaf bila membaca tentang kisah ini. Susah yang kita rasa mungkin sedikit berbanding mereka yang lebih malang. Oleh itu sentiasa bersyukur dan semoga kita di Malaysia masih mampu menjamah makanan yang bersih dan selamat. Sama-sama kita membantu mereka yang di dalam kesusahan.

Published by
Fiezreen