Sebentar tadi, dalam Perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) beliau “menegur” individu yang dilihat tidak lagi memakai penutup muka ketika berada di khalayak ramai.
“Pakailah, jangan tak pakai” tegurnya. Walau kita masih mencatat jumlah bilangan positif COVID-19 rendah jumlahnya, namun kita masih berada dalam perintah kawalan pergerakan pemulihan dan belum menang sepenuhnya,” katanya lagi.
Tambahnya, kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam.
“Perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan” katanya dalam sidang media tersebut.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegur sikap alpa untuk tidak menjabat tangan namun sudah ada individu-individu melakukannya termasuk melakukan salam pelukan.
“Kita belum menang sepenuhnya walau negara mencatatkan jumlah pesakit agak rendah buat masa ini. Masa yang sama, saya risau kerana angka mereka yang positif virus ini sudah mencatat dua angka berbanding sebelum ini,” katanya sambil menambah kejayaan untuk menangani COVID-19 ialah kesedaran diri, sikap dan amalan serta cara hidup yang diamalkan.
“Tapi saya tengok bukan saja ada berjabat tangan malah siap berpelukan. Ianya bagus untuk ikatan persaudaraan tapi saya sentiasa harus ingatkan bahawa harus ada penjarakan diri satu meter antara satu sama lain. Elakkan berjabat tangan, bersentuhan, tempat sesak dan sebagainya.
“Setakat hari ini saja, lebih 14.5 juta orang dijangkiti COVID-19 dengan lebih 600,000 kematian. Malah di Malaysia juga wujud kluster-kluster baru termasuk kluster Restoran Kuala Lumpur dan sebagainya. Jadi semua pihak harus tahu bagaimana untuk menjaga diri.
Jelasnya lagi, dalam fasa Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP ini, setiap individu, keluarga dan komuniti adalah petugas barisan hadapan atau frontliners. Ahli keluarga dan masyarakat mestilah sentiasa nasihat menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain.
“Tak kisahlah kalau dikatakan berleter ke apa. Tapi ibu bapa mesti sentiasa mengingatkan anak-anak agar supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah. Ingatkan mereka agar jaga penjarakan sosial, sentiasa basuh tangan, elakkan tempat sesak, jangan berjabat tangan dan lain-lain. Ingatkan mereka setiap hari. Tak mengapalah kalau dikatakan berleter pun kerana ini amat penting. Ini kerana kita semua sayangkan keluarga kita,” katanya lagi.