Pakatan Harapan Tubuh Kerajaan Baru Di Bawah Pimpinan Tun Mahathir

Share

Setelah tempoh 61 tahun, Malaysia hari ini menyaksikan satu detik bersejarah berlaku apabila Barisan Nasional tewas kepada parti Pakatan Harapan.

Berada di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed, kerajaan baru diumumkan secara rasmi setelah mereka memenangi majoriti mudah 112 kerusi daripada sejumlah 222 buah kerusi Parlimen.

Esok, Tun Dr. Mahathir dijangka akan menghadap Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V bagi perlantikan dan angkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dijangka akan bertemu Sultan Johor serta kerabat Istana Johor bagi sebuah perbincangan tertutup.

Sementara itu, menarik untuk kita nantikan kenyataan Tun Dr Mahathir sebentar tadi apabila beliau menyatakan tentang usaha permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan keluar dari penjara pada Jun kelak. Adakah beliau pula calon Perdana Menteri selepas ini?

Tun Dr. Mahathir juga dilihat bersifat positif dan mengelak daripada melihat kemenangan malam (ke pagi?) ini sebagai tindakan balas dendam terhadap parti lama beliau, Barisan Nasional. Namun, beliau memandang Pilihan Raya Umum ke-14 sebagai satu simbol sistem demokrasi.

Apa-apapun, REMAJA doakan agar tempoh beberapa hari selepas ini dapat berjalan dengan tenang dan profesional tanpa sebarang rusuhan mahupun kekecohan.

IKLAN