Ada Yang ‘Panas’ Dengan Mesej Politik, Lihat 16 Kostum Bermakna Di Miss Universe 2021

Share

 

Saban tahun apabila pertandingan ratu cantik, Miss Universe dianjurkan, segmen kostum nasional adalah salah satu segmen kegemaran REMAJA.

Ia merupakan segmen yang membolehkan para peserta berseronok ketika mempertontonkan kostum masing-masing di pentas tersebut. Malah, ia juga mempertontonkan kreativiti dan hasil kerja pereka yang dilantik untuk mempersiapkannya untuk wakil di Miss Universe.

ARTIKEL BERKAITAN : INDIA Dinobat MISS UNIVERSE 2021, Tamat Kemarau Kemenangan 21 Tahun – REMAJA

Jom lihat 16 kostum nasional terbaik pada pandangan REMAJA di Miss Universe 2021.

Argentina

Diperbuat daripada plastik terbuang yang telah dicairkan, ia merupakan simbol kepada glasier yang semakin mencair di Argentina disebabkan impak pemanasan global.

 

Aruba

Kostum ini mewakili tanaman lidah buaya yang terkenal di Aruba. Ia begitu penting sehinggakan simbol lidah buaya ada pada jata negara tersebut. Kini, Aruba masih maneruskan penanaman lidah buaya secara besar-besaran dan ia digunakan dalam pembuatan produk penjagaan kulit serta perubatan.

 

Curacao

Dalam tempoh 30 tahun yang lepas, 50 peratus daripada populasi terumbu batu karang di seluruh dunia telah pupus. Warna merah pada kostum ini diinspirasikan daripada terumbu ‘fire coral’ di Curacao. Selain rekaannya yang cantik, kostum ini turut mempromosikan impak pemanasan global terhadap habitat ‘fire coral’ di Afrika, Eropah dan Tengah/Selatan Amerika.

 

Czech Republic

Sebagai penyokong kempen kesedaran hak wanita, kostum ini bukan saja menampilkan aksesori kepala berbentuk singa sebagai simbol kekuatan serta keberanian seorang wanita. Pada tangannya juga mempunyai tulisan berbunyi, “Pertahankan Hak Wanita Di Seluruh Dunia,” dan “Saya mewakili satu suara tetapi bersama, kita boleh berjaya.”

 

El Savador

Lain daripada yang lain! Kostum ini mewakili monumen keamanan di El Savador. Saban tahun, sebarang pertunjukan demonstrasi untuk menentang keganasan akan dilangsungkan di sana.

Lilin pada bahagian bahu/gaun dan corak seakan tangan berdarah pada bahagian bawah gaun adalah simbol kepada kes ‘femicide’. Femicide bermaksud pembunuhan yang disengajakan terhadap wanita disebabkan jantina dan malangnya, ia masih berlaku di El Savador.

 

India

Biarpun kostum India ini mirip pakaian tradisional lenhga yang biasa kita saksikan, makna di sebalik kostum ini adalah lebih mendalam. Ia adalah satu bentuk penghargaan kepada kaum wanita di mana payung yang dibawanya merupakan simbol naluri dan sifat ingin melindungi yang ada pada diri seorang wanita terutamanya terhadap anak mereka.

 

Ireland

Sejak usia 17 tahun, wakil Ireland ini telah berkhidmat dalam bidang perubatan.

Kostum hijau keemasan ini merupakan penghargaannya kepada barisan hadapan (frontliner) yang telah bertungkus-lumus sewaktu musim pandemik. Selayaknya, mereka digelar healthcare hero. Dia juga ingin melihat para jururawat dibayar setimpal dengan perkhidmatan mereka menerusi kostum ini.

 

Morocco

Nampak seakan persalinan kaftan biasa saja. Namun kostum nasional yang disarungkan oleh Kawtar Benhalima dari Morocco ini merupakan persalinan yang cukup elegan; siap dengan barangan kemas mewah dan fabrik yang mewakili sejarah 12 abad di Morocco. Warna hijau pada fabrik baldu adalah simbolik kepada agama Islam yang merupakan agama rasmi di Morocco. Talk about representation.

 

Nigeria

Diilhamkan daripada topeng muka tradisional puak Mnwana di Nigeria, kostum ini cantik dengan hasil kerja hiasan manik. Ia bertujuan untuk meraikan kekayaan warisan budaya Nigeria dan merupakan simbol kekuatan wanita. Topeng muka dempak ini ibarat perlindungan yang diberikan oleh Mnwana kepada kanak-kanak dan wanita daripada serangan serta penderaan.

 

Peru

Keseluruhan kostum ini menyala terang dengan bantuan lampu LED! Wakil Peru iaitu Yely Rivera ingin menghargai tempat kelahirannya di kaki gunung berani menerusi kostum ini. Katanya, dia merupakan Ratu Putih (White Queen) di daerah Andes sambil membawakan mesej perpaduan serta keamanan.

 

Filipina

Jika pada tahun 2019, Filipina pernah memenangi kategori Kostum Nasional menerusi ilham haiwan burung helang. Kali ini, wakil Filipina iaitu Beatrice Luigi Gomez ‘menjadi’ seekor naga pula. Ia diilhamkan daripada kisah dongeng rakyat Filipina bernama Bakunawa. Kostum ini lengkap dengan bahagian cape di bahagian belakang yang kelihatan seperti sisik serta bahagian bahu berbentuk naga.

 

Singapura

Bukan mudah untuk menceritakan segala-galanya tentang negara kita ke dalam satu rekaan kostum. Namun Singapura mampu melakukannya menggunakan corak pada kain kostumnya yang kelihatan seperti lukisan bandaraya Singapura. Cantik menggunakan warna bendera rasminya iaitu merah dan putih, kostum rekaan Frederick Lee ini juga menampilkan bintang sebagai aksesori kepala dan ia mewakili bintang pada bendera Singapura.

 

Afrika Selatan

Bodysuit putih yang diilhamkan daripada burang merpati ini bukan bodysuit biasa-biasa. Ia adalah mesej wakil Afrika Selatan bernama Lalela Mswane ini yang inginkan keamanan. Mesej ini merujuk semula kepada masa silam Afrika Selatan yang pernah bergelut dengan isu hak rakyat yang tidak sama rata.

Kostum ini juga ‘kena’ dengan kontroversi yang melanda pembabitan Afrika Selatan di Miss Universe 2021. Untuk pengetahuan, Lalela tidak menerima sokongan kerajaan  negaranya disebabkan lokasi pertandingan Miss Universe 2021 di Israel. Kata Lalela, bukan lokasi yang harus dijadikan tumpuan tetapi niat menghantar wakil untuk bertanding di sana.

Apapun, kami gemar saksikan aksi Lalela yang menari ballet dengan kostum ini!

 

Sepanyol

Pejam celik, arkitek terkenal Sepanyol iaitu Antoni Gaudi telahpun meninggal dunia selama 95 tahun. Kostum ini diinspirasikan daripada hasil kreativiti arkitek tersebut dan ia mirip salah satu karya seni Gaudi paling ikonik iaitu ‘Salamandra’ di Barcelona.

 

Thailand

Seluruh rakyat Malaysia mengenali ilham sukan Muay Thai pada kostum Thailand ini. Tapi kali ini, sut sukan boxing tradisional ini diberikan suntikan elegan apabila bahagian badannya diperbuat daripada lingkaran tali nipis dan manik. Ia dinamakan sebagai Nang Kard yang bermaksud Wanita Kuat.

Mengambil semangat juang dalam diri seorang wanita, kostum ini selari dengan ‘tagline’ Miss Universe Thailand pada tahun ini iaitu Power of Passion.

 

USA

Wow! Wakil Amerika Syarikat, Elle Smith hadir sebagai figura trofi keemasan yang selalu diserahkan kepada pemenang acara anugerah terkemuka di Hollywood seperti Golden Globes, Oscars dan Emmys. Siap ada karpet merah lagi untuk Elle di atas pentas tersebut.

*

Dan pemenang bagi kategori Kostum Nasional pada tahun ini ialah..

NIGERIA!

Bukan saja ia unik dan kemas, persembahan menyakinkan Maristella Okpala juga membantu Nigeria memastikan kemenangan ini.

Menurut pereka kostum dari Filipina, Kennedy Jhon Gasper yang bertanggungjawab menyiapkan kostum Nigeria ini, ia merupakan kostum kedua yang pernah dihasilkannya untuk wakil Miss Universe. Sebelum ini, Kennedy pernah menyiapkan kostum wakil Cameroon di Miss Universe 2020, Kossinda Angeles.

Untuk kali pertama dalam tempoh 7 tahun, kategori ini tidak dimenangi oleh negara dari benua Asia. Terdahulu, Miss Universe telah menobatkan pemenang Kostum Nasional dari Indonesia (2014), Thailand (2015), Myanmar (2016), Jepun (2017), Laos (2018), Filipina (2019) dan Myanmar (2020).

ARTIKEL BERKAITAN : 15 Kostum Nasional Menarik Ratu Cantik. Ada Yang Menarik, Ada Yang Pelik! – REMAJA

BACA LAGI : 4 Kostum Nasional Di Miss Universe 2020 Suarakan Isu Panas! – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ