Pandelela Rinong Raih Pingat Emas Di Kejohanan Piala Dunia FINA 2021

Share

Satu lagi pencapaian terbaik yang diraih Ratu terjun negara, Pandelela Rinong apabila berjaya meraih pingat emas acara 10 meter platform individu wanita di kejohanan terjun Piala Dunia FINA 2021 semalam.

Menurut Malaysiakini, atlet berusia 28 tahun itu mempamerkan terjunan bertenaga dan menyakinkan untuk mengungguli peringkat akhir yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun dengan mengumpul 355.70 mata selepas melengkapkan tujuh terjunan.

Manakala, penerjun tuan rumah, Matsuri Arai hanya mampu mengumpul 342.00 mata untuk pingat perak dan Caeli Mckay dari Kanada meraih gangsa dengan 338.55 mata.
Pandelela merupakan satu-satunya atlet yang berjaya menyumbang pingat buat pasukan terjun negara yang menggalas cabaran ke Piala Dunia kali ini.

Pada pusingan separuh akhir, Pandelela menduduki tempat ketiga dengan 333.00 mata di belakang Mckay dengan 343.85 mata, manakala Andrea Spendolini Siriex di tempat kedua dengan 336.00 mata.

Kejayaan ini turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang membuat ciapan di Twitter dengan mengucapkan tahniah buat Pandelela Rinong.


Pandelela, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Jun Hoong bakal menggalas cabaran negara dalam acara terjun di temasya Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Foto: oijom

Semoga skuad negara mampu membawa kejayaan bagi mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Sumber: (1)

Published by
Noor Ain Norman