Tidak dinafikan, kewujudan makhluk halus iaitu bangsa Jin sudah dinyatakan di dalam al-Quran. Malah cerita-cerita seram seperti kewujudan pocong, pontianak, langsuir, toyol dan pelbagai lagi sudah banyak diceritakan.
Seorang doktor, Dr Kamarul Ariffin berkongsi pengalaman seram dilaluinya semasa bertugas di sebuah hospital. Memang seramlahkan kalau hadap perkara ini. Baca perkongsiannya di fb miliknya, Kamarul Ariffin Mohd Sadan.
TERPERANGKAP
“Hello, boleh bercakap dengan Doktor Kamarul” soal pemanggil di hujung talian.
Aduh! Baru nak lelapkan mata, dah ada orang cari. Aku telan air liur untuk basahkan tekak dan berkata “Ya, saya bercakap.”
“Saya dari bilik keselamatan. Doktor oncall kan malam ni?” soalnya.
Berkerut dahi aku. Memandangkan aku sedang oncall, aku sangka panggilan itu daripada wad untuk beritahu keadaan pesakit. Ada apa pula pengawal keselamatan telefon malam-malam ni? Ada pesakit lari daripada wad ke?
“Ya saya yang oncall. Ada apa ya, bilik keselamatan telefon?”
“Tadi doktor orang terakhir dalam pejabat di Jabatan Rehab ke?” soalnya lagi.
“A’ah. Saya orang terakhir. Kenapa? Saya lupa kunci pejabat ke?” kataku.
“Tak. Tadi lepas doktor serah kunci pejabat di bilik keselamatan pukul 10 malam tadi, kami ada terima satu panggilan daripada seorang perempuan. Dia kata dia terkunci dalam Jabatan Rehab.”
“Hah? Ye ke? Saya orang terakhir tadi. Saya ada check juga pejabat sebelum saya kunci pintu jabatan tadi. Tak ada orang lain pun rasanya.”
“Oh, memang ada check lah?”
“A’ah. Memang SOP kami untuk check. Siapa yang terkunci di dalam?” soal aku curiga. Ada juga timbul rasa bersalah kerana terkunci rakan sekerja di pejabat malam-malam begini.
“Itulah masalahnya. Saya pergi sana, buka pintu utama, tapi tak jumpa siapa-siapa di dalam. Pintu-pintu bilik dalam pejabat tu saya tak boleh buka sebab tak ada kuncinya.”
Alamak! Kunci tu ada di pejabat tapi di simpan dalam peti kunci yang berada dalam bilik Puan Nora, Ketua Unit Jurupulih Carakerja. Susah juga nak beritahu pengawal keselamatan ini di mana letaknya kunci-kunci itu.
“Tak apa, macam ni. Saya datang sana. Kita sama pergi check.” cadangku pada pengawal itu.
“Hah! OK!”
Aku terus bangkit dari katil dan berkejar ke bilik keselamatan yang terletak di lobi utama hospital. Dalam perjalanan itu aku periksa group WhatsApp tempat kerja. Mana tahu orang yang terperangkap itu ada mesej apa-apa di group.
Mesej terakhir di hantar oleh Ketua Jabatan kami, jam 10.30 malam. Mesej itu berbunyi “Breakfast will be provided tomorrow”. Selepas itu, tiada apa-apa mesej lagi. Hmm…
“Saya Dr Kamarul. Jom kita pergi periksa Jabatan Rehab” ujar aku di tetingkap di bilik keselamatan sebaik sahaja tiba di sana. Dalam bilik itu ada 2 orang pengawal keselamatan. Seorang lelaki, seorang perempuan.
“OK, jom!” sahut si pengawal keselamatan lelaki.
Kami pun pergilah pejabat Jabatan Rehabilitasi dan buka pintu utama Jabatan, kemudian pintu Unit Rehabilitasi, kemudian pintu bilik Puan Nora, dan barulah boleh ambil gugusan kunci dalam peti kunci dalam bilik itu.
Ketika kami nak keluar daripada bilik Puan Nora, walkie talkie di pinggang pengawal keselamatan itu berkeriut dan kemudian terdengar suara pengawal wanita yang berada bilik keselamatan itu bersuara:
“Perempuan tadi tu telefon lagi. Dia kata dia dengar suara kau orang.”
“Tanya dia, dia kat mana?” balas pengawal lelaki.
10 saat berlalu sebelum walkie talkie itu kembali berbunyi dan disusuli jawapan.
“Dia kata dengar suara kau orang macam kat bilik sebelah bilik dia.”
Bilik pejabat sebelah bilik Puan Nora itu adalah bilik Encik Mus, Ketua Unit Jurupulih Fisioterapi. Dia jarang guna bilik berkenaan, kerana dia lebih selesa gunakan bilik berhampiran dengan jimnasium di Unit Fisioterapi.
Sejujurnya 3 tahun aku bertugas di Jabatan Rehabilitasi, aku hanya pernah lihat En Mus masuk dalam bilik itu, sekali sahaja.
Aku buka kunci bilik itu dan kuaknya daun pintu luas-luas, dan bersedia untuk minta maaf kepada insan yang terperangkap dalam bilik itu kerana kecuaian aku.
Eh? Tak ada sesiapa.
Aku petik suis lampu. Cahaya menerangi bilik itu. Mata aku melilau ke segenap penjuru bilik. Memang tak ada sesiapa. Aku toleh pada pengawal disebelah aku, dia pun toleh kepada aku. Aku dah mula rasa lain macam, tapi kami masuk juga untuk periksa lebih lanjut.
Bila kami dekati meja aku baru perasan bahawa gagang telefon tidak terletak pada perumahnya dan hanya terjuntai ke bawah meja. Hati aku dah tak sedap. Takkan orang tu duduk bawah meja, kan?
Tapi aku dan pengawal tu nekad untuk periksa juga. Masa aku jengah tu tiba-tiba walkie talkie bersuara:
“Shshshshsh… OK dah! Perempuan tu kata dia dah nampak kau orang. ”
Bulu roma aku terus meremang, dari lengan sampai ke pundak, kemudian ke tengkuk. Weh, bawah meja tu tak ada sesiapa. Gagang tu tergantung je. Siapa yang sedang bercakap dengan pengawal di bilik keselamatan tu?
Macam lipas kudung aku dan pengawal keselamatan yang bersama aku itu lari keluar dari pejabat jabatan. Lintang pukang lari macam tak cukup tanah.
Aku sampai dulu di bilik keselamatan, pengawal lelaki tadi tercungap-cungap menyusul aku dari belakang. Habis terkeluar keluar baju dia. Ada beberapa orang oramg awam di lobi pandang kami berdua semacam.
“Weh kenapa kau orang lari-lari macam kena kejar hantu ni?” tanya pengawal perempuan dalam bilik keselamatan.
Kami pun beritahulah apa yang berlaku. Pucat muka dia bila dengar cerita kami. Dia pula lebih takut daripada kami. Dia siap tepuk-tepuk mulut dia. Mungkin memarahi dirinya kerana bermulut celupar.
“Kita kena patah balik.” kata pengawal lelaki tadi.
“Patah balik? Biar betul?” ujar aku.
“Yelah. Kita tak kunci balik pejabat tu. Mampus saya kalau esok ada apa-apa hilang.”
“Betul juga. Aku pun mati kalau macam tu, sebab aku yang oncall. Lampu tak tutup. Pintu tak kunci. Aku yang patut bertanggungjawab kunci pejabat hari ni.”
Bila dah tenang sikit, pengawal lelaki tu panggil 2 orang lagi pengawal untuk ke bilik keselamatan. Jadi kami berempat pergi semula ke Jabatan Rehabilitasi.
Sampai sana kami periksa semula semua. Tak ada benda hilang, tak ada benda pelik, kecuali gagang telefon tadi dah diletakkan semula ke perumahnya. Aduh merinding sekali lagi.
Kemudian kami cepat-cepat tutup lampu, kunci semua pintu, dan lekas-lekas beredar. Kau tak akan pernah nampak seorang doktor dan 3 pengawal keselamatan berjalan rapat-rapat macam mana kami berjalan malam tu.
Selepas itu aku dan pengawal-pengawal berborak berkenaan peristiwa itu di dalam bilik keselamatan. Tiba-tiba telefon berdering. Kami memandang sesama sendiri. Masing-masing tak nak angkat, namun akhirnya salah seorang pengawal jawab panggilan itu.
“Hello! Bilik keselamatan, boleh saya bantu!”
“Terima kasih…” dan disusuli derai tawa dan hilai sebelum talian diputuskan.
Terus kami berhenti bercerita. Entah apa yang kami dah lepaskan dari bilik itu. Maknanya kini ia dah bebas.
Kamarul Ariffin Nor Sadan
#GHOSTPITAL
Suka baca cerita seram, maka follow. Simple.