Kebanyakan sektor pelancongan sudah pun mulai dibuka secara berperingkat dan khabarnya Pulau Langkawi juga dijangka akan dibuka kepada pelancong pada 16 September ini sempena dengan Hari Malaysia.
Dalam kegembiraan kita mendengar banyak lokasi pelancongan yang sudah dibuka, ada beberapa perkara yang korang perlu ambil kira sebelum membuat keputusan beriadah di tempat awam.
Seperti di Port Dickson, individu yang tidak lengkap menerima suntikan vaksin tidak dibenarkan melakukan aktiviti berkelah dan perkhemahan di pantai peranginan daerah itu.
Keputusan ini adalah seperti yang telah digariskan dalam prosedur operasi standard (SOP), Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sejak pantai itu dibuka pada 26 Ogos lalu.
Semua aktiviti berkumpulan juga adalah tidak dibenarkan kecuali kumpulan kecil dalam kalangan ahli keluarga yang sama.
Aktiviti perkelahan serta perkhemahan dibenarkan dalam daerah yang sama dan individu yang sudah menerima suntikan vaksin lengkap dibenarkan membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah bagi menyertai aktiviti dengan SOP yang ketat.
Pengunjung juga diingatkan perlu patuh dengan mengamalkan penjarakan sosial semasa berada di kawasan pantai selain mematuhi protokol kesihatan umum.
Selain itu juga, hanya peniaga yang sudah lengkap divaksinasi sahaja dibenarkan berniaga untuk menjaga kesihatan dan keselamatan pengunjung yang datang beriadah.
Ha, nampaknya bukan hanya kedai-kedai di pusat membeli-belah sahaja yang akan menyemak status vaksinasi pelanggan, malah kini ada juga pusat riadah terbuka seperti pantai di Port Dickson yang turut mempunyai pegawai penguatkuasa untuk memeriksa sama ada pengunjung sudah divaksinasi atau tidak.
Tak mustahil juga lebih banyak pusat-pusat pelancongan yang akan turut mengenakan arahan yang sama, iaitu hanya pengunjung yang sudah menerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan berkunjung ke sana.
Betul tak?
Sumber: (1)