Hasrat, jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli untuk merampas kembali pingat emas lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) di Sukan Paralimpik Paris 2024 tidak kesampaian.
Pada aksi di Stade de France, Paris, Muhammad Ziyad melakukan 17.18 meter (m) untuk menghadiahkan pingat perak buat kontinjen negara, selepas pulang tangan kosong pada edisi Tokyo 2020.
Atlet berusia 34 tahun itu memulakan saingan lontaran pertama 16.75m, 16.66m pada percubaan kedua diikuti 17.18m yang merupakan lontaran terbaiknya pada percubaan ketiga.
Pemenang emas Rio 2016 itu cuba bangkit namun tidak berupaya memintas catatan terbaiknya dengan lontaran terakhir sejauh 16.86m.
Oleksandr Yarovyi dari Ukraine melakar kejutan apabila memecah rekod dunia sebanyak dua kali sekali gus mengesahkan pingat emas menjadi miliknya. Yarovyi melakukan catatan 17.60m pada percubaan ketiga bagi memadam rekod dunia milik rakan sepasukan dan juara bertahan, Maksym Koval iaitu 17.57m dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris.
Atlet berusia 25 tahun itu kemudiannya mengatasi rekod dunia dilakarnya beberapa minit sebelum itu, dengan melakukan lontaran 17.61m pada percubaan keempat sekali gus merampas emas daripada Koval.
Prestasi Koval pula tampak kurang menjadi apabila lontarannya dibatalkan sebanyak empat kali dan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi percubaan terbaiknya 16.99m yang hadir pada lontaran kedua.
Sementara itu, kejayaan meraih pingat perak pada edisi kali ini telah memadam episod gelap menghantui Ziyad yang dibatalkan penyertaannya gara-gara lewat ke bilik panggilan pada Tokyo 2020. Mengambil iktibar daripada insiden berkenaan, Ziyad hadir 20 minit lebih awal ke bilik panggilan di Stade de France sebelum memulakan aksi acara lontar peluru lelaki.
Menurut Ziyad, walaupun tidak berjaya merampas semula pingat emas namun tetap berpuas hati dapat kembali menaiki podium selepas kali terakhir melakukannya di Rio 2016.
“Alhamdulillah, untuk sumbang perak ia lebih baik daripada tiada langsung. Bagi saya memang harapan tinggi untuk pingat emas namun saya tidak rasa kecewa sangat kerana sudah cuba beri terbaik tadi”
“Kisah yang menghantui saya (Tokyo 2020) akhirnya sudah habis. Lega rasanya kerana detik tersebut memang menghantui saya sejak tiga tahun lepas hingga saya tertekan dan kini saya dapat buktikan dengan pingat perak, macam mimpi pun ada,” katanya.
Dalam pada itu, atlet kelahiran Selangor itu terus memasang azam untuk kembali beraksi pada edisi 2028 di Los Angeles dengan menyasarkan membawa pulang pingat emas buat Malaysia.
“Saya tidak pernah terfikir untuk pencen lagi. Mungkin saya akan beraksi lagi untuk Sukan Paralimpik seterusnya dan bergantung pada keadaan badan saya ketika itu untuk cuba buat terbaik.
“Selepas ini, saya akan berehat sebentar dan meluangkan masa bersama keluarga,” tambahnya.
Pada masa sama Muhammad Ziyad mendedikasikan pingat perak dimenanginya buat bapanya Zolkefli Othman yang menyambut hari lahir ke-70 pada 1 September lalu.
Sumber artikel: Sinar Harian
Sumber foto: BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.