Jiwa kami masih belum berganjak daripada temasya Sukan Paralimpik yang baru melabuhkan tirainya semalam.
Ini setelah Malaysia menggondol dua pingat terakhir dari Tokyo 2020 yang kebetulan merupakan pingat emas kedua dan ketiga negara pada edisi kali ini.
Bercakap mengenai pingat emas kedua tersebut yang dimiliki oleh pemain badminton negara Cheah Liek Hou, kemenangan tersebut cukup istimewa buatnya dan Malaysia.
Bukan saja pemain berusia 33 tahun itu menjadi pemenang badminton perseorangan pertama dalam sejarah penganjuran Sukan Paralimpik memandangkan ini adalah kali pertama sukan badminton dipertandingkan di temasya terbabit.
ARTIKEL BERKAITAN : Turun 20 Kg! Semangat Cheah Liek Hou Hasil Bimbingan Rashid Sidek – REMAJA
Kejayaan ini bertambah manis apabila ia dikongsi bersama jurulatih beliau, Rashid Sidek yang juga pernah bergelar pemenang pingat gangsa di Sukan Olimpik Atlanta 1996 dalam acara perseorangan lelaki.
Pada waktu itu, Rashid Sidek menjadi pemain perseorangan pertama Malaysia untuk memenangi pingat menerusi sukan badminton di Sukan Olimpik.
Wow, sejarah sememangnya boleh berulang! Kedua-dua jaguh ini berjaya melakukan ‘the unthinkables’ untuk pemain generasi akan datang contohi.
Untuk pengetahuan, sebelum menjadi jurulatih Liek Hou bermula tahun 2019, Rashid Sidek pernah melatih bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.
“Sebagai jurulatih yang dapat ‘memberi’ seorang pemain pingat emasnya di Sukan Paralimpik, bagi saya ia adalah satu pencapaian yang membanggakan untuk saya. Saya dah nak dekat ( untuk menangis) tapi saya tahan (ketawa). Tapi memang ada rasa sebak.
“Dia mengharapkan pingat emas. Saya pun sebagai jurulatih mengharapkan kejayaan pada anak buah saya,” katanya dalam temubual bersama Astro Arena.
Liek Hou sendiri menyifatkan kemenangan ini adalah milik bersama jurulatihnya.
“Tak ada dia, saya tidak akan sampai ke tahap begitu bagus.”
“Setelah menang, saya hanya ingin lepaskan tekanan (lalu beliau menjerit kepuasan di tepi gelanggang). Saya cuma ingin pergi ke (Rashid) dan berterima kasih kepadanya,” kata Liek Hou.
*
Dalam pada itu, Rashid Sidek turut merakamkan momen istimewa kelmarin. Tanpa dirancang, beliau sempat melakukan ‘reunion’ dengan rakan podium lama beliau di Tokyo 2020.
Setelah 25 tahun berlalu, kelmarin beliau bertemu pemenang pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996, Paul-Erik Hoyer dari Denmark dan naib juara pada waktu itu, Dong Jiong dari China! Pada waktu itu, Rashid tewas kepada Dong Jiong di peringkat separuh akhir namun menebus kekecewaan dengan mengenepikan pemain Indonesia, Hariyanto Arbi untuk memiliki pingat gangsa.
Masing-masing nampaknya telah memainkan peranan di Sukan Paralimpik kali ini.
Hoyer yang kini merupakan Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF) merupakan individu penting dalam memastikan sukan badminton membuat ‘debut’ di Tokyo 2020. Sementara itu, Dong Jiong kini bergelar jurulatih badmintin sama seperti Rashid.
“Amat istimewa apabila kami bertiga dapat berada di sini; masing-masing mempunyai peranan istimewa dalam acara para badminton. Banyak telah berubah, rambut sudah beruban dan macam-macam lagi. (ketawa)
“Ini adalah tugas baru untuk saya (sebagai jurulatih para) dan saya gembira dapat berkongsi ilmu serta pengalaman dengan pemain muda sambil menaikkan standard sukan para badminton,” katanya kepada BWF.
BACA LAGI : Ini Barulah Namanya ‘Sportsmanship’! Warganet Berterima Kasih Pada Atlet Greece – REMAJA